Ahad, 8 April 2012

Kemahiran blog yg harus ada pada setiap daie blogger






Marilah kita melihat dan menilai hasil kajian atau pandangan hilal asyraf dalam membicarakan tentang ciri-ciri blog yang baik yang harus ada pada setiap daie blogger.

Ciri Pertama: Blogger Yang Baik Adalah Yang Sentiasa Mengemas Kini Blognya.

Ciri pertama, blogger yang baik adalah yang sentiasa mengemas kini blognya.

Sentiasa ini, boleh membawa maksud dari hari-hari, hinggalah kepada seminggu sekali. Pada saya, had mengemas kini blog paling buruk pun adalah seminggu sekali. Manakala blog yang hanya diupdate dua minggu sekali, sebulan sekali, dan seterusnya, adalah blog yang pada saya tidak akan diikuti.

Siapa yang mahu mengikuti sesuatu yang tidak punya penerusan yang baik. Sekejap ada, sekejap tiada. Tiada siapa mahu mengikuti. Apatah lagi, apabila wujud pelbagai blog lain yang lebih konsisten kemas kininya.

Tambahan, kita hendak membawa pembaca kita ke arah mana, kalau updatenya sebulan sekali cuma?

Maka di sini kita perlu melihat semula. Buat jadual. Disiplinkan diri. Rangka penyampaian kita, pengisian blog kita. Pastikan benar-benar mampu berkala. Barulah orang mahu mengikuti perkembangan kita, mendalami apa yang kita sampaikan. Barulah mesej kita kelihatan kuat, apa yang kita sampaikan kelihatan bermakna. Kerana penerusan, adalah bukti bahawa kita benar-benar berusaha.



Ciri Kedua: Blogger Yang Baik Penyampaiannya Santai, kemas dan teratur.

Ciri yang kedua, blogger yang baik adalah yang santai penyampaiannya.

Entrinya tidak terlalu panjang hingga orang penat membacanya, dan bahasanya tidak pula terlalu bombastik hingga orang terpaksa cari kamus untuk memahaminya. Entrinya juga kemas dan teratur. Ada pembuka, ada penutup. Tampak kedisiplinan terpapar di situ.

Lebih menarik apabila penyampaiannya boleh dikaitkan dengan realiti, amalan kehidupan, masalah yang sering melanda, membawa kepada penyelesaian, membawa kepada ketenangan hati, penambahan ilmu sohih lagi bermanfaat dan sebagainya. Tidak kira dengan wasilah penulisan, gambar, komik dan sebagainya.

Penyampaian yang santai ini, turut termasuk di dalamnya menggunakan bahasa yang sopan.



Ciri Ketiga: Blogger Yang Baik, Mesra Pelawat.

Ciri yang ketiga pula adalah, blogger yang baik merupakan blogger yang mesra dengan pelawat dan pembaca blognya.

Maksud mesra di sini bukanlah kemesraan berlebih-lebihan, hingga terjadinya perbualan yang meleret dan kosong antara blogger dan pembaca. Tetapi mesra di sini bermaksud, sentiasa berusaha memberikan respon kepada kemusykilan yang ditimbulkan oleh pembaca. Mengucapkan terima kasih sekiranya dipuji, dikritik, dan sebagainya. Menyatakan kemaafan jika ada yang menegur. Membalas salam ziarah. Juga jika mempunyai masa, menziarahi semula blog-blog pelawat yang melawati blognya.

Ini antara bibit-bibit ukhuwwah, jambatan hati yang mampu dibina semasa di alam maya. Jika benar hendak menjadi blogger=da’ie, maka ‘mesra pelawat’ ini adalah tersangat penting. Kemesraan kita, akan menjadi penarik kepada orang untuk mengikuti penyampaian kita, mendalami apa yang kita cuba sampaikan.

Kemesraan kepada pelawat ini boleh diekstensikan lagi dengan pembinaan kelab, dengan melaksanakan gathering, jika benar-benar serius dalam mengembangkan pengaruh penyampaian kita. Dengan itu, pembaca dan pelawat bukan ditinggalkan untuk menginterprestasi bebas penyampaiannya, bahkan dia memandu mereka.


Ciri Keempat: Blogger Yang Baik Itu Tidak Main Copy & Paste.

Ciri keempat bagi seorang blogger yang baik adalah, dia tidak sekadar copy & paste bagi mengemas kini blognya. Bermaksud, dia sekadar memenuhi entri blognya, dengan post-post yang dicopy & paste daripada blog orang lain.

Tujuan Copy & Paste memang baik jika untuk sebaran ilmu. Tetapi pada saya, jika benar-benar hendak menjadi seorang blogger=da’ie, seorang blogger itu perlu usaha lebih keras. Jangan copy & paste, tetapi cukuplah sekadar ‘mengulas’, kemudian letakkan link artikel itu, menyatakan bahawa anda sedang mengulas perkara itu.

Maka di sini, blogger itu akan ada pandangannya sendiri, terhasil daripada penilaiannya terhadap artikel tadi. Pelawatnya akan dapat juga membaca artikel itu, dan pada masa yang sama, pelawatnya akan melihat pula sisi pandang blogger tersebut. Tujuan sebaran dapat dipenuhi, pada masa yang sama, diri dapat dipertingkatkan lagi.

Nah. Itu lebih baik.

Kalau diberikan kepada saya, buat apa saya nak ikut blog yang suka copy & paste artikel orang lain? Baik saya pergi terus kepada tuan punya artikel.


Ciri Kelima: Blogger Yang Baik, Penyampaiannya Bukan Kosong.

Ciri kelima, dan terakhir saya mahu kongsikan di sini adalah, Blogger Yang Baik, penyampaiannya bukan kosong.

Blogger yang baik tidak akan sekadar menceritakan benda-benda yang tidak bermanfaat, sekadar menceritakan peribadinya, kehidupan dirinya dalam setiap entrinya. Bukanlah dilarang menulis diari. Tetapi kalau hendak menulis diari pun, pastikan diari yang bermanfaat.

Kita ambil contoh mudah.

Blogger yang kurang baik, bila cuaca hujan, dia akan cerita di dalam blognya:

“Hari ini hujan. Boring gilerr.”

Blogger yang baik, bila cuaca hujan, dia akan cerita di dalam blognya:

“Hari ini hujan. Sedikit kebosanan kerana tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Tetapi mungkin diri boleh ambil peluang muhasabah. Mengambil ibrah daripada rahmat yang Allah SWT turunkan. Hujan menghalang aku untuk keluar dari rumah, tetapi memberikan pula kehidupan kepada haiwan dan tumbuhan. Untuk aku pula, mungkin dari sekadar bosan ini tinggal bosan, baik aku isi masa dengan sesuatu yang bermanfaat….”

Begitu. Ada beza bukan? Kedua-duanya diari. Tetapi berbeza sama sekali.

Kita meneruskan perbincangan kita dalam Blogger=Da’ie, kali ini dengan ciri-ciri Blogger Yang Baik pula. Tempoh hari kita telah membicarakan perihal Blog Yang Baik. Kini, Blogger Yang Baik. Blog yang baik, belum tentu akan menarik ramai pembaca, memberikan kesan kepada yang mengikuti, sekiranya bloggernya bukanlah seorang yang baik.

Ya. Jadi di lembaran kali ini, kita fokus kepada Blogger Yang Baik.

Dan ini hanyalah sekadar pandangan saya. Ciri-ciri ini bukan absolute, dan mungkin sahaja bagi yang tiada ciri-ciri ini boleh menjadi blogger yang baik. Terpulang. Tetapi ini adalah pandangan, buah fikiran, idea daripada saya.

Saya tidak akan membicarakan baik dari segi kerohanian di sini. Saya lebih kepada baik dari segi pengurusan. Hal ini kerana, berkenaan baik dari segi rohani, kita telah banyak bincangkannya dalam bab-bab sebelum ini.




Penutup: Blogger Yang Baik, Akan Memberikan Manfaat.

Pada saya, blogger yang baik akan memberikan impak. Untuk saya, blog yang baik sahaja tidak akan mencukupi. Perlu bloggernya juga baik. Barulah sempurna.

Menjadi ‘orang’ yang baik, dengan menjadi ‘blogger’ yang baik adalah dua perkara yang berbeza. Belum tentu orang yang rajin buat kerja bantu manusia lain, mampu menjadi penggerak blog yang baik. Dan begitulah sebaliknya.

Justeru, Blogger=Da’ie mengajar untuk kita asimilasikan kedua-duanya.

Agar blog tidak sekadar menjadi pentas bercerita,

Tetapi menjadi tempat untuk mengajak manusia kembali kepadaNya.

Bukan sekadar menjadi tempat bercerita kosong,

Tetapi menjadi medan untuk membina peribadi yang ulung.

InsyaAllah. 

Respons saya: ciri-ciri sebuah blog yang baik terlampau banyak, saya kira penjelasan saudara hilal diatas sudah cukup lengkap untuk dihuraikan. Segala yang baik itu, datangnya dari Allah maka kita pintalah kepada Allah sebanyak-banyaknya. Semoga penulisan seringkas ini dapat membawa faedah kepada umat. Insya-Allah.


cc: langitilahi.com

Sabtu, 7 April 2012

Pencarian...





Suatu ketika, seorang guru yang bijaksana sedang berteduh di bawah sepohon pokok yang agak besar dan rendang. Bersamanya seorang pelajar yang masih muda tetapi gemar bertanya dan mengutip pengalaman daripada yang lebih berusia darinya.

“Guru, bagaimana kita dapat mencari pasangan hidup yang sejati? Bolehkah guru membantu saya?” Tiba-tiba pelajar itu menyoal.

Sang guru tidak terus menjawab, sebaliknya dia merenung jauh ke tengah kehijauan padang.

“Wahai muridku, saya akui soalanmu ini amat indah untuk dicerna, namun sukar untuk dilaksana....” Sang guru membuka bicara.

“Cuba kamu lihat padang yang luas itu. Terdapat banyak rumput di atasnya. Bagaimana kalau saya meminta kamu berjalan di sana, tetapi kamu tidak dibenarkan untuk mundur semula. Hanya berjalan terus, maju ke hadapan. Dalam perjalananmu itu, saya mahu kamu mencari sehelai rumput paling cantik, ambil dan berikan kepada saya.”Sang guru mengarahkan.

Tanpa banyak bicara, pelajar itu menurut. Langkahnya diatur ke tengah padang yang luas. Dia berjalan sambil matanya melilau mencari sehelai rumput paling cantik menurut perkiraannya untuk diberikan kepada sang guru.

Namun, selang beberapa ketika…

“Saya tidak melihat sehelai rumput pun pada tanganmu?” Sang guru bertanya bila dilihat pelajarnya itu kembali ke bawah pohon besar dengan tangan kosong.

“Saya berjalan, dan terus berjalan. Bila sahaja mata saya tertancap pada sehelai rumput yang saya rasakan paling cantik, hati saya pula menyanggah : "Nanti dulu! Rumput-rumput di depan ini masih banyak, mungkin ada yang lebih cantik dari yang ini.

Lalu, rumput itu saya tinggalkan dan pencarian diteruskan. Namun akhirnya, tanpa saya sedari saya sudah pun sampai ke penghujung padang yang luas, tetapi tiada sehelai rumput pun yang berada di dalam genggaman...” Ujar pelajar itu dalam nada keletihan.

Mendengar jawapan balas pelajarnya, sang guru yang bijaksana tersenyum penuh makna.

“Inilah realiti hidup....Padang yang luas itu, umpama masa, rumput-rumput yang banyak itu umpama orang ramai di sekelilingmu, manakala rumput yang cantik pula adalah individu yang menarik perhatianmu. Justeru, keadaanmu tadi banyak berlaku dalam hidup manusia dalam mencari cinta sejati. Mereka mencari, bertemu yang menambat hati, tetapi dek mengenangkan mungkin ada yang lebih baik dari yang telah ditemui, mereka teruskan mencari sehingga tanpa sedar, sudah banyak masa yang terbuang, sudah banyak tenaga yang hilang. “ Sang guru menjelaskan penuh hikmah.

“Oleh itu, dengarkan nasihatku ini. Dalam mencari pasangan hidup, janganlah selalu membanding-bandingkan dan berharap akan ada seseorang yang lebih baik di hadapan, kerana jika itu kau lakukan, masamu akan hilang, tubuhmu pasti kelelahan...” Sang guru menutup bicara disambut anggukan yang tidak putus dari pelajarnya.

Khamis, 27 Oktober 2011

Perkara Ajaib

cikgu : murid2..sape yg tahu apakah 7 bende ajaib dalam dunia?

boon kok keong : piramid cikgu..

cikgu : bagus...lagi siapa yg tau..sila bangun..!!!

gopal : taj mahal..cikgu..

cikgu : bagus...lagi....!!!

husin : hati..cikgu..!!!

cikgu : aik..kenapa pulak hati???boleh kamu terangkan pada kelas..???

husin : sbb hati manusia ni..orang x nampak.tapi boleh rasa..kalau hati menangis..xde sape buleh dengar.dalam hati ada macam2 rasa..marah,geram,kecewa,gembira dan macam2 lagi.tuhan ciptakan hati manusia ni sama tp tak serupa.bende2 yg manusia cipta tu bukannya ajaib cikgu..itu cuma tinggalan sejarah lama.sbb manusia hari ni..boleh buat bende2 yg serupa dengan bende2 tu semua.tapi xd sape yg buleh cipta hati manusia..cikgu...!!

Sabtu, 15 Oktober 2011

Forum Dianjung Cinta

Pada 14 Oktober 2011 telah diadakan sebuah forum keilmuan berkaitan tentang cinta, tajuk forum tersebut "Amanah Dalam Bercinta". Forum berkenaan telah diadakan di kolej 9, UTM JB.



                 Apa yang menarik minat aku untuk mengulas forum ini amat berkait rapat dengan diri aku, apa dia wahai sahabatku? Cuba teka? Hehehe... Jawapannya adalah jeng jeng jeng....



Jawapannya adalah cinta, ya cinta. Disebabkan cinta aku mengulas tajuk forum ini, manakan tidak cinta sering berlegar-legar dalam benak fikiran, minda dan hati. Sering kali daku mengeluh tentang cinta kerana kurang memahami apa itu cinta. Adakah cinta itu seakan coklat yang cair dalam mulut kita? Atau cinta itu seindah taman-taman bunga yang penuh dengan keindahan? Mungkin juga cinta itu seperti cinta Rasulullah kepada umatnya. 

Sungguh aku tidak sangka, sangkaan aku tentang cinta meleset sama sekali setelah hadir ke Forum Dianjung Cinta ini, para panel memberi hujah yang cukup hebat sehingga membuat aku terkesima dengan huraian hujah yang penuh ikhlas. 'Cinta yang berjaya adalah cinta yang berpautkan kepada Allah SWT' kata-kata hikmah yang terbit dari mulut seorang panel ketika menjawab soalan moderator berkenaan amanah tentang cinta.

Sebenarnya surah al-Fatihah yang sering kita baca dalam solat, adalah satu senjata untuk mendapatkan cinta. Manakan tidak surah ini diturunkan kepada Rasulullah ketika israk mikraj, ini bermakna surah ini teramat bermakna dan bernilai sehinggakan dalam bercinta kita disarankan untuk menbaca surah ini ulas seorang panel  forum. Lihatlah sahabatku dengan membaca surah al-Fatihah kita dapat membenihkan rasa cinta di dalam hati orang yang kita cinta. 


بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani"
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِين
"Pujian bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam"
ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
"Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani"
مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين
"Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)"
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
"Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan"
ٱهْدِنَا ٱلصِّرَ ٰط ٱلْمُسْتَقِيمَ
"Tunjukilah kami jalan yang lurus"
صِرَ ٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ
"Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang dimurkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat"

“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Imam Bukhari dan Imam Muslim) Hadis ini dibacakan oleh Ustaz Don bagi menghuraikan soalan moderator mengenai cinta dalam kampus, beliau mengatakan jika ingin mencari pasangan (cinta) carilah yang ada agama kerana jika tiada agama maka rosaklah kehidupan rumah tangga walaupun pasangan kita itu ada 3 elemen yang lain. Apalah guna jika wajah secantik siti zulaikha tapi akhlak (agama) teruk, apalah guna jika harta sebanyak Qarun tapi bongkak dengan tuhannya dan apalah guna keturunan yang hebat jika tiada nilai amanah dalam beragama. Maka, ayuhlah sahabat kita cerminkan diri kita dan buat muhasabah agar kita ditempatkan dengan mereka-mereka yang soleh dan solehah.

Akhir bicara, cinta yang aku dapat dalam forum ini amatlah banyak tapi tidak dapat kongsi semua..:'( Tapi tidak mengapa ilmu Allah itu luas, kita cari lagi jangan kita menjual mahal untuk mendapat ilmu-ilmu seperti ini. Orang yang sentiasa mencari ilmu dan bermujahadah akan diberi ganjaran oleh Allah:

" Wahai orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan kamu akan satu perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab pedih? Iaitu, kamu beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, dan kamu berjihad di jalan Allah dengan harta kamu dan diri kamu sendiri, yang demikian itu adalah lebih baik kepada kamu jika kamu mengetahui (hakikatnya)." (surah al-Saff, 61:10-11)   




Selasa, 11 Oktober 2011

3 Tough Questions










         Moral of the story, janganlah pertikaikan sesuatu tanpa kita selidik dan merujuk kepada para ulama bak kata nabi bahawa ulama itu pewaris nabi kerana mereka yang membuat kerja nabi untuk menyampaikan islam kepada masyarakat umum. Selamat beramal ye sahabat-sahabatku....(^,^)v