Ahad, 27 Mac 2011

Lawakkan dunia ini... buat iktibar semua...



Bayangkan benda ini berlaku pada anda.....
Suatu hari pada masa
Sembahyang jumaat yang di hadiri oleh lebih
kurang 1,000 jemaah...
tiba-tiba masuk dua orang lelaki yang menutupi
seluruh tubuhnyer dgn
pakaian hitam.. tak nampak apa cuma dua biji
mata dan
membawa mesin
gun... lalu salah seorang lelaki tu bertempik "
"Sesiapa yang sanggup
MATI
kerana ALLAH sila berdiri di tempat kamu"
Selepas
mendengar amaran
lelaki
itu maka segeralah bertempiaran lari para
jemaah
itu utk
menyelamatkan
diri.... daripada jumlah yang 1,000 tadi tu hanya
tinggal lebih
kurang
20 orang sahaja yang masih berdiri di tempat
masing-masing termasuk
Pak
Imam tu... Lelaki yang bertempik tadi segera
membuka
tutup mukanya
lalu
melihat ke arah Pak Imam sambil berkata: "Ok
Pak
Imam, saya dah
halau
SEMUA yang hipokrit, sekarang bolehlah Pak
Imam
mulakan sembahyang
Jumaat".... Lalu kedua lelaki tersebut berpaling
dan
meninggalkan
jemaah.... Macammana.. adakah anda rasa lawak
dgn
cerita di atas.
selain
terhibur anda fikirlahlah. ..


" Lawak kan , dari 1,000 org yg mengaku dia
Islam hanya
20 yg
betul-betul
beriman... "


" Lawakkan berapa banyak manusia yang mudah
lupakan
ALLAH bila
menghadapi bahaya... kedua lelaki hanya
membawa
mesin-gun.. dia tak
kata
pun
nak bunuh.. tapi generasi skrang.. amat lemah..
baru
kena ugut
terus
lari
lintang pukang.. lupa yg dia tak sembahyang
jumaat
lagi..."


"Lawak, ada juga yang agamanya cuma
seminggu sahaja..
tu pun bila time
sembahyang jumaat.. tunjuk muka kat org
kampung.. ada
tu lagi dashyat
setahun 2 kali aje.. bile time sembahyang raya..."


"Lawakkan, ramai orang percaya kepada gosip
dan apa
yang di tulis
oleh surat khabar daripada apa yang tercatit
dsalam
al Quran"



"Lawak kan , berapa ramai yg percaya dunia
hanya
sementara, akhirat
adalah
tempat yang kekal, tapi berlumba-lumba
mengejar dunia"


"Lawak, kita boleh bersembang dgn boyfriend
atau
girlfriend
berejam-rejam
tapi nak berdoa kepada ALLAh alahai.. tak cukup
masa..


Dan lebih lawak lagi, bila kita boleh post banyak
thread atau email
yang berunsur lawak jenaka dan lucah kesemua
tempat
tapi merasa berat
nak berkongsi dan nak hantar artikel2
yang
berunsur
agama


Lawak kan ???/ Kenapa gelak/ tu kan realiti.. tapi
yg
paling lawak
sekali.. berapa orang yang lepas baca benda ni
akan
sampaikan kat
orang
lain... berapa orang yang akan buka email ni
untuk
luangkan masa
membaca? berapa banyak????
wallahuaallam




Sabtu, 26 Mac 2011

GURAU SENDA & TAWA RASULULLAH SAW

Rasulullah SAW bergaul dengan semua orang. Baginda menerima hamba, orang buta, dan anak-anak. Baginda bergurau dengan anak kecil, bermain-main dengan mereka, bersenda gurau dengan orang tua. Akan tetapi Baginda tidak berkata kecuali yang benar saja.

 Suatu hari seorang perempuan datang kepada beliau lalu berkata, "Ya Rasulullah! Naikkan saya ke atas unta", katanya. "Aku akan naikkan engkau ke atas anak unta", kata Rasulullah SAW. "Ia tidak mampu", kata perempuan itu. "Tidak, aku akan naikkan engkau ke atas anak unta". "Ia tidak mampu". Para sahabat yang berada di situ berkata, "bukankah unta itu juga anak unta?" Datang seorang perempuan lain, dia memberitahu Rasulullah SAW, "Ya Rasulullah, suamiku jatuh sakit. Dia memanggilmu". "Semoga suamimu yang dalam matanya putih", kata Rasulullah SAW.

Perempuan itu kembali ke rumahnya. Dan dia pun membuka mata suaminya. Suaminya bertanya dengan keheranan, "kenapa kamu ini?". "Rasulullah memberitahu bahwa dalam matamu putih", kata istrinya menerangkan. "Bukankah semua mata ada warna putih?" kata suaminya. Seorang perempuan lain berkata kepada Rasulullah SAW, "Ya Rasulullah, doakanlah kepada Allah agar aku dimasukkan ke dalam syurga". "Wahai ummi fulan, syurga tidak dimasuki oleh orang tua". Perempuan itu lalu menangis. Rasulullah menjelaskan, "tidakkah kamu membaca firman Allah ini, Serta kami telah menciptakan istri-istri mereka dengan ciptaan istimewa, serta kami jadikan mereka senantiasa perawan (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya".

Para sahabat Rasulullah SAW suka tertawa tapi iman di dalam hati mereka bagai gunung yang teguh. Na'im adalah seorang sahabat yang paling suka bergurau dan tertawa. Mendengar kata-kata dan melihat gelagatnya, Rasulullah turut tersenyum.

Isnin, 21 Mac 2011

Komunikasi Kulit Komunikasi Isi


Get the point, not the points!
“Ya Allah, rezekikanlah kami kefahaman!” mulut melafaz doa.
Rupa-rupanya FAHAM itu adalah rezeki.
Andai faham itu rezeki, maka jalan kepadanya sama seperti rezeki-rezeki yang lain.
Rezeki wang, datangkah ia berkepuk jatuh dari langit?
Tentu sahaja tidak. rezeki wang datang dengan kerja dan usaha. Perlu berusaha.
REZEKI PENJUAL MODEM BROADBAND
Seorang anak muda berusaha untuk mencari wang. Dia membuka meja untuk menjual modem Broadband, di bawah redup pohon bidara, di tepi sebuah lorong yang orang tidak berapa lalu. Berpeluh dari pagi hingga ke petang. Menjelang sore, terjualkah modem beliau?
Sifar!
Langsung tidak terjual.
Jika syarat rezeki itu ialah berusaha, bukankah beliau sudah berusaha? Tentu sahaja beliau sudah berusaha. Berpeluh, masa dan sabar, dari pagi hingga ke petang. Tetapi usahanya tidak membuahkan hasil. Puncanya, beliau SALAH CARA dalam BERUSAHA.
Jual modem Broadband di bawah pohon bidara? Pohon bidara itu pun orang sudah takut melihatnya. Mungkin ada yang sampai terdetik, “yang di bawah pokok itu manusia atau jembalang?” Lorong itu pula tidak ditempuh orang. Maka usahanya memang usaha. Tetapi hasilnya tiada. Semua kerana salah cara dalam berusaha.
Samalah juga dengan rezeki faham.
Bukan semua orang yang berusaha datang ke majlis ilmu akan faham. Yang tidak ke majlis ilmu sudah tentu bermasalahnya dia. Tetapi yang datang pun, sama ada majlis ilmu secara mengadap, mahu pun dengan melayari halaman-halaman web sebagai sumber ilmu, bukan semua yang berakhir dengan FAHAM. Ramai yang tidak faham.
Puncanya?
Bukan tidak berusaha. Tetapi salah cara dalam berusaha.
CIRI ULUL ALBAAB
Ulul Albaab tidak ada kena mengena dengan Ahmad Albab.
Albaab itu adalah kata jamak daripada Lubb. Ia memberikan maksud ‘ISI’ atau ‘INTI’. Justeru Ulul Albaab memberi makna orang yang dapat isi, bukan kulit. Jika dikaitkan ia dengan faham, maknanya orang yang ULUL ALBAAB itu adalah orang yang faham isi, bukan faham kulit. Dalam bahasa mudahnya, orang yang get the point.
Siapakah mereka?
Ada 16 ayat di dalam al-Quran Allah Subhanahu wa Ta’aala menyebut tentang karakter Ulul Albaab.
Namun karakter yang satu ini, berkait secara langsung dengan soal rezeki faham:
Syarat pertama untuk jadi orang yang fahamnya adalah faham isi, dia perlu ada kemahiran mendengar.
Dengar dahulu pendapat-pendapat yang datang kepadanya.
Dengar.
Kemudian membuat pertimbangan.
Memilih dan komited pada mengikut yang terbaik.
Itulah pra syarat orang yang mendapat hidayah.
Petunjuk… kunci kepada penyelesaian.
BAGAIMANA MENDENGAR DENGAN KEMAHIRAN TINGGI?
Mendengar, dengan telinga yang dua berbanding mulut yang satu itu, biar sekali ganda lebih bersungguh berbanding dengan bercakap.
Rehatkan persepsi, rehatkan pengalaman silam, rehatkan apa yang kita telah tahu, bukakan diri untuk mendengar dengan empati, supaya apa yang didengar bukan mengikut kehendak kita yang mendengar, tetapi mendengar seperti yang sepatutnya didengar.
Apabila ada sesuatu yang kita rasa tidak setuju, jangan cepat melatah melulu. Kawal diri, dengar atau baca sekali lagi, nilaikan apa yang kita faham.
Apakah kefahaman kita memang apa yang dimaksudkan oleh pihak yang bercakap?
Atau ia hanya persepsi kita?
Misalnya, tatkala seseorang berbicara tentang nuklear, jangan cepat melatah pada menganggap semua yang bercakap kritis tentang nuklear itu mengkritik teknologi nuklear. Mungkin yang dikritiknya adalah integriti pihak pemaju projek nuklear. Bukan teknologi nuklear. Tatkala kita melulu dalam berkata, yang terserlah adalah kegopohan kita. Latah yang melunturkan kesarjanaan pengetahuan kita sendiri. Maka jangan terlalu cepat memberikan maklum balas. Fikir seketika, dan nilaikan semula.
Jangan dengar dan baca apa yang kita mahu dengar dan baca sahaja.
Dengar apa yang orang mahu kita dengar.
Dengar apa yang sepatutnya kita dengar.
Jangan dengar hanya pada perkataan sahaja.
APA SYARAT MENDAPAT KEMAHIRAN INI?
Manusia kulit berkomunikasi antara mulut dan telinga.
Manusia isi berkomunikasi dengan hati.
Komunikasi kulit, menganggap iPhone 4 adalah alat komunikasi paling canggih. Walhal jika hati tidak mahu berbicara, butang merah juga yang ditekannya. Secanggih mana pun telefon, akhirnya tidak dapat berbicara dan mendengar juga.
Komunikasi hati, lain kisahnya. Biar pun terpaksa naik bas loncat bersalin bas tiga kali, semuanya sanggup ditempuh kerana hati benar-benar mahu berjumpa dan berbicara.
Justeru komunikasi Ulul Albaab banyak memerlukan pembaikan hati.
Perbaiki hati, agar ada ukhuwwah, ada empati.
Dengan hati yang mahu berkomunikasi, kita lebih sabar dalam mendengar.
Lebih berisi.
Get the point, not the points!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Rabu, 16 Mac 2011

Tsunami Akal dan Budi di Tanah Air Sendiri



Lori beras terbalik.
Orang ramai berpesta mengaut beras ‘percuma’ di Lebuhraya.
Pemandu lori yang parah mengerang dengan luka yang dihurung lalat meminta bantuan.
Kelindan lori terbiar hingga mati di tepi jalan.
Saya cuba untuk menghadam laporan kejadian lori beras terbalik di KM394 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Tanjung Malim bulan lalu. Apakah yang difikirkan oleh pengaut beras itu? Adakah mereka lebih miskin daripada penghuni pondok yang makan siput babi beberapa tahun lalu di siaran Bersamamu TV3? Jika tidak lama dulu orang ramai berkejaran mengutip duit syiling yang bertaburan akibat kemalangan di Lebuhraya yang sama, kali ini beras dikaut untuk habuan makan, membiarkan mangsa di tepi tanpa tindakan peri kemanusiaan.
Kebingungan.
Seperti ada satu ‘petanda besar, bagai ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan perilaku masyarakat kita kebelakangan ini.
11 Mac 2011, seluruh penduduk dunia terkejut.
Sesuatu yang tidak pernah dicatat oleh sejarah, Pantai Timur Laut Jepun dilanda gempa bumi paling dahsyat berukuran 8.9 pada skala Richter. Gegaran yang begitu dahsyat mengundang bencana yang paling menakutkan iaitu gelombang Tsunami. Tanpa berlengah, ombak setinggi 10 meter menghempas pantai dan menyapu segala yang berdiri di muka bumi, ‘tanpa belas kasihan’.
Tidak pasti apa yang mahu diungkap, selain berdoa agar kejadian itu tidak mengulangi penderitaan kesan Tsunami di Sumatera pada Disember 2004 yang lalu apabila lebih 200 ribu nyawa terbunuh di sekeliling pantai Lautan Hindi. Gelombang Tsunami kali ini menggoncang perairan Lautan Pasifik hingga melimpahkan kesannya ke perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, serta Sabah dan Sarawak.
Subhanallah!
Hanya pernah sekali menjejakkan kaki ke bumi Jepun, kenangan di bumi Ibaraki, menambah ‘rasa terkait’ dengan apa yang berlaku apabila gempa bumi dan Tsunami turut memusnahkan kawasan yang indah dan permai itu.
Namun kesedihan dan debar menyaksikan satu demi satu laporan berita di media, terpukul oleh beberapa siri laporan berita media tempatan yang membingungkan.
TAHAP KEPRIHATINAN KITA
Belum pun reda gegaran dan deruan ombak ganas Tsunami di Jepun, Buletin Utama di TV3 sudah berbincang tentang implikasi bencana besar di Jepun itu kepada pasaran saham di Tokyo serta akibatnya kepada kedudukan pasaran saham global termasuk Kuala Lumpur. Tanpa sensitiviti yang paling minima atas dasar kemanusiaan, Dato Mukhriz Tun Mahathir menyatakan harapannya agar Jepun segera memulihkan keadaan ekonomi serta pasaran sahamnya dan mudah-mudahan ia tidak berjangkit ke pasaran saham di negara kita.
Tatkala kenyataan rasmi Perdana Menteri tidak kedengaran, laporan ala kadar terhadap bencana luar biasa ini terus dihalakan pada soal ekonomi. Bukan ekonomi Jepun, tetapi kepentingan negara kita, rakan niaga tradisi negara matahari terbit itu!
Mulia sungguh hati rakan ini.
Apa sudah terjadi?
KOSMO! AHAD
Menyelak akhbar di pagi Ahad, sekali lagi kita kebingungan.
Kosmo Ahad 13 Mac 2011 di halaman 3, menyiarkan berita Ratu Pornografi Jepun, Maria Ozawa terselamat daripada malapetaka gempa bumi dan Tsunami itu.
Dalam ramai-ramai tokoh daripada kalangan rakyat Jepun, Miyabi pula yang jadi pilihan.
Bimbang benar dengan kehilangan ikon penting ini.
BERITA HARIAN
Diselak pula akhbar Berita Minggu 13 Mac 2011 di halaman 24, kartunis Zoy melukis kartun Ultraman yang lari bertempiaran dikejar ombak Tsunami gergasi 11 Mac lalu. Entah apa yang cuba diterjemahkan melalui lakaran itu, ia pantas melahirkan betapa rendahnya moral kita hingga kejadian bencana sedahsyat itu, dilakar sebagai bahan senda gurau tanpa sedikit pun mempertimbangkan perasaan sekalian manusia, Jepun atau tidak Jepunnya mereka, berkenaan jurnalisma terencat jiwa ini.
Apakah semua ini?
Neo-journalism versi apakah ini?
Paling mengaibkan, lakaran kartun yang sangat tidak sensitif ini telah disiarkan di CNN iReport iaitu cabang citizen journalism milik CNN.
Berita yang disiarkan itu menyebut:
iReport —
Local Malaysian newspaper Berita Harian published a caricature in their editor’s column today that depicts the popular Japanese cartoon character Ultraman as trying to outrun an incoming tsunami.
The publication has received tremendous criticisms by readers, who accuse the editors as being “inconsiderate and distasteful”. Several political leaders have even stepped out and demand a public apology, to which the editors promptly made on their publication’s Facebook fan page. – posted by Dancingtiger
Mungkin media perdana sama ada di arena siar atau cetak, tidak mampu menyesuaikan diri dengan era jaringan sosial semasa yang semakin menidakkan kuasa veto mereka membentuk pendapat umum.
Dalam tempoh yang begitu singkat, sesuatu yang menggambarkan kejengkelen kartunis, serta kecuaian editorial, telah menjatuhkan maruah negara. Bagaimana kalau berita ini mengusik sentimen pelabur Jepun dan antarabangsa? Inginkah hukuman setimpal itu atas sikap rakan niaga yang tidak berhati perut?
Foto kredit malaysiana.pnm.my
SI LUNCAI TERJUN DENGAN LABU-LABUNYA!
Bencana itu sudah tiba di Jepun!
Tak apa. Kita kan di Malaysia…
Bencana itu sudah tiba di Johor!
Tak apa. Kita kan di Selangor…
Bencana itu sudah tiba di Gombak!
Tak apa. Kita kan di Petaling Jaya…
Bencana itu sudah tiba di Seksyen 5!
Tak apa. Kita kan di Seksyen 2…
Bencana itu sudah tiba di Jalan 2/4!
Tak apa. Kita kan di Jalan 2/8…
Bencana itu sudah tiba di rumah nombor 47!
Tak apa. Kita kan di rumah nombor 74…
Bahagian depan rumah kita sudah runtuh!
Syukur. Dapur kita masih selamat…
Memperkenalkan… mazhab Aku Tidak Pedulisma!
WASIAT NUH ALAYHI AL-SALAAM
Sebagai penutup, renungilah wasiat Nabi Nuh Alayhi as-Salaam kepada anak-anaknya yang beriman sebelum Baginda wafat pulang kepada Allah.
Imam Ahmad dan al-Bayhaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-’Aas Radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
Suatu ketika kami sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Kemudian datang seorang lelaki dari pedalaman yang memakai jubah besar berwarna hijau (Seehan) dan dihiasi dengan sutera. Lalu Rasulullah SAW berkata:
“Sesungguhnya sahabat kamu ini telah meninggalkan setiap pahlawan berkuda anak pahlawan berkuda serta mengangkat setiap pengembala anak pengembala! (Pakaian yang melambangkan keangkuhan pemakainya)” Lalu Baginda SAW memegang jubah lelaki tersebut dan berkata kepadanya “Aku melihat engkau memakai pakaian orang yang tidak berakal!” Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi “Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya:
“Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara. Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah.
Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki.
Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)”
Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?
Nabi SAW menjawab, “Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!
[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79]
“Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!”
Inilah pesanan Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam kepada anaknya sebelum wafat. Dan kita ini semua adalah cucu cicitnya Baginda. Terimalah nasihat ini sebagai peringatan.
Sesungguhnya Tauhid dan Kalimah Tauhid adalah sebesar-besar perkara di dalam hidup ini. Menjadikan ia sebagai fokus diri, dan seterusnya disempurnakan pula dengan Takbir membesarkan Allah dan Tasbih mensucikanNya pada lisan dan perbuatan. Syirik yang muncul dengan pelbagai versi di dalam kehidupan kita hari ini bersama perbuatan angkuh, bongkak, takabbur atau Kibr itu pula hendaklah dijauhi. Sesungguhnya Syirik dan takabbur itu telah menjadi syiar dan cara hidup ramai manusia pada hari ini.
SALAH SIAPA
Habis, salah siapa semua itu?
Mahu dikata salah kerajaan, ia kerajaan pilihan rakyat.
Mahu dikata salah rakyat, siapakah pendidik-pendidik rakyat itu?
Nampaknya ia salah saya.
Salah pendakwah yang belum cukup kuat berusaha.
Justeru saya telah, sedang dan akan terus berusaha.
Saya sudah mendapat satu lagi tugasan.
Anda cukup dengan menonton sahaja?
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada satu kaum itu sehingga mereka bertindak mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [Al-Ra'd 13: 11]
Salam takziah dari saya untuk akal dan budi tamadun manusia.
” Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi.” (Al-A’raaf 98-99)
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG