Jumaat, 22 Julai 2011

Ultra Salafi: Saya Sahih Sebab Rujukan Saya Sahih


sultan.jpg
Saya sahih sebab rujukan saya sahih!
Ini merupakan salah satu penyakit pemikiran yang merunsingkan saya.
Terutamanya dalam trend kembali kepada Quran dan Sunnah, ramai yang ditimpa penyakit ini.
Oleh kerana alasan idea saya adalah al-Quran, maka idea saya sahih sesahih al-Quran. Oleh kerana rujukan saya adalah hadith yang sahih, maka apa yang saya faham tentang hadith itu, juga merupakan idea yang sahih.
Penyakit ini menimpa golongan yang menisbahkan fikiran mereka sebagai mewakili teks yang dianggap benar. Ia bukan sahaja berlaku dalam lingkungan Muslim, malah telah wujud juga penyakit yang sama di semua agama. Masalah ini bukan masalah agama, tapi masalah sikap dan pemikiran.
Ketika menyelak lipatan sejarah, saya teruja melihat gelagat golongan Jacobin.
Semasa Perancis sedang bertarung dengan usaha membebaskan masyarakat dari cengkaman penguasa diraja dan gereja, 1793 memperlihatkan rusuhan besar-besaran yang akhirnya memberi ruang kepada Jacobin mengambil alih pemerintahan. Mereka menganggap bahawa merekalah golongan yang mewakili suara rakyat, memahami aspek keadilan serta baik dan buruk masyarakat.
Mereka menganggap tafsiran mereka terhadap konsep cintakan tanah air La Patrie dan kefahaman mereka terhadap kehendak Social Contract adalah yang paling tepat. Lantas mereka mesti menerima sokongan dan kepatuhan yang mutlak dari rakyat, kerana dari situlah rakyat beroleh kebaikan.
robespierre.jpg
Antara tokoh terkenal dari kumpulan Jacobin ini adalah Maximilien Robespierre (1758 – 1794). Pemerintahannya dianggap pemerintahan yang luhur, berteraskan rujukan yang sahih, lantas dinamakan sebagai Republic of Virtue.
Tindakannya yang anti perhambaan, memberikan hak sivil kepada komuniti Yahudi dan pelbagai reformasi positif, di peringkat awalnya disambut baik oleh rakyat. Tetapi tindakan yang dinisbahkan kepada memenuhi kehendak iman telah menjadikan beliau dan pemerintahannya meng’kebal’kan diri dengan alasan mereka mewakili apa yang sahih.
… to detest bad faith and despotism, to punish tyrants and traitors, to assist the unfortunate, to respect the weak, to defend the oppressed, to do all the good one can to one’s neighbour, and to have with justice towards all men”
Robespierre telah membina imej agama kepada masyarakat yang ditadbirnya. Lantas, menentang pemerintahannya dianggap menentang kehendak agama.
Pemerintahan berteraskan tafsiran sahih terhadap kehendak rujukan yang sahih, telah membina sikap tidak boleh dikritik, lantas mereka menghukum sesiapa sahaja yang mempertikai. Mereka membanyakkan perisik untuk memastikan tiada usaha mempertikai dan menentang dari kalangan rakyat, dan sedikit demi sedikit, Republic of Virtue berubah menjadi Reign of Terror!
Saya bertemu dengan watak ini di dalam pusingan Sejarah. Sama ada Sejarah Islam, mahu pun sejarah yang di luar komuniti Islam. Golongan yang menganggap diri mereka mewakili teks yang sahih, terlupa bahawa teks yang sahih tidak menjadikan apa yang mereka faham tentang teks itu turut sahih dan tidak boleh menerima pertikaian.
Kerana itu, kita bertemu dengan pembiakan golongan yang mengambil teks secara literal tanpa mengambil kira peraturan-peraturan untuk teks tersebut difahami.
Misalnya, banyak hadith sahih tentang hubungan rakyat dan pemerintah diketengahkan. Teks hadith ini cuba untuk dijadikan prinsip siasah secara mudah, sedangkan kefahaman mengenai hadith-hadith itu langsung tidak mengambil kira apakah asbab al-wurud (sebab hadith itu disabdakan oleh baginda s.a.w), ‘illahmaqasid, hikmah dan apa yang mahu dicapai oleh Syariat Islam melalui hadith itu.
Lantas, usaha untuk mempertahankan ketaatan rakyat kepada pemerintah diperbesarkan dengan bahasa mutlak, bahawa pemerintah tidak boleh ditegur kerana hadith sahih berkata begitu, atas nama kehendak Sunnah!
sultan2.jpg
Masyarakat diajak agar mengenepikan tanggungjawab membetulkan pemerintah, apatah lagi dengan memperkatakan apa yang benar, kepada pemerintah yang zalim. Sebaliknya tumpuan diberi kepada menjauhkan diri dari menyatakan penentangan kepada penyelewengan dan kezaliman pemerintah, kerana ia dilabel sebagai tradisi Khawarij. Sedangkan taat kepada pemerintah, dan menjauhkan Kalimah al-Haq ‘inda al-Sultan al-Ja’ir, itulah Sunnah.
Fahaman ini sukar diperbetulkan kerana pemikiran pendukungnya ialah “saya sahih sebab rujukan saya sahih”!
Soal menegur pemerintah secara tidak beretika, itu soal lain. Al-Quran sendiri memberi garis panduan kepada insan setinggi Musa tentang cara yang betul menegur manusia sejahat Firaun. Teguran tentunya dengan bahasa yang tidak menjadikan penegur memberanakkan dosa. Teguran tentunya mesti berasaskan fakta yang diteliti. Semua ini kehendak Syariat Islam.
Tetapi memberikan imunisasi kepada pemerintah semata-mata dengan alasan hadith sahih tidak membenarkan pemerintah ditegur, adalah suatu yang menghairankan, bukan hanya kepada rakyat yang Islam, malah kepada pemerintah sendiri.
“Tidak sangka, rupa-rupanya kalau menurut Syariat Islam, kita ini tidak boleh ditegur!”, kata pemerintah di empat penjuru alam Muslim. Siapa yang tidak mahu ‘Islam’ versi ini?
Tindakan para Anbiya’ seawal Nuh ‘alayhi al-Salaam berdakwah terhadap golongan al-Mala’, sirah Nabi s.a.w yang menolak pemerintahan Jahiliah di zamannya, derita para Imam seperti Imam Malik dan Imam Ahmad kerana tidak menyetujui pendirian pemerintah di zamannya, malah kematian dan derita pejuang Islam di Mesir, Syria, Jordan, Iraq dan di merata pelusuk alam, semuanya dilupakan.
Di dalam dunia kita hari ini, menegur kuasa pemerintah bukan hanya merujuk kepada peranan yang dimainkan oleh pembangkang. Ia hanya salah satu daripada format menyatakan pendirian. Teguran dan nasihat juga disampaikan dalam format jurnalisma (seperti diskusi Edward Said di dalam bukunya Covering Islam), seni suara, seni lukis, karikatur dan sebagainya. Kesemua format itu berkongsi etika yang sama, bahawa menegur pemerintah adalah sebahagian daripada prosescheck and balance demi memastikan kuasa berada di tangan yang betul, dan turun ke rakyat dengan polisi-polisi yang betul lagi saksama.
sultan3.jpg
Gerakan Islam, NGO dan pelbagai pertubuhan yang ada di dalam masyarakat, mempunyai pelbagai tanggungjawab dan peranan.
Malangnya, dalam suasana seperti apa yang ada hari ini, agenda menyelamatkan ummah dari ancaman Sekularisma hilang prioriti. Tanggungjawab menegakkan keadilan pada ekonomi, sosial dan undang-undang ditolak ke tepi. Tugas umat Islam menyelamatkan saudara-saudara mereka dari gelombang Riddah apabila manusia murtad menerusi peruntukan undang-undang dan lemahnya penguatkuasaan, sudah tidak lagi dibicarakan.
Malah bukan hanya itu, apa yang dinamakan sebagai perjuangan Islam. Bagaimana pula dengan polisi kerajaan dalam isu alam sekitar, pencemaran udara dan air, hinggalah kepada pencemaran budaya dan cara hidup, semua itu juga sebahagian daripada agenda Islam. Sistem Islam bukan hanya memperkatakan tentang undang-undang, malah mencakupi seluruh aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia.
Tugas pendukung agenda Islam sangat banyak. Sekurang-kurangnya ia sama banyak dengan kementerian dan jabatan kerajaan itu sendiri. Mereka perlu memantau keberkesanan penguasa di dalam isu kehakiman, sama juga di dalam isu kesihatan, penjagaan alam sekitar, kebajikan pekerja, pendidikan, dan senarai ini berterusan.
Di mana perjuangan al-Quran dan al-Sunnah dalam memperkatakan hal ini, jika kita semua diheret kepada sekadar persoalan “boleh atau tidak kita menegur pemerintah?”. Pemerintah sendiri pun tidak sangka ada isu semacam itu di belakang mereka.
Bukanlah saya bermaksud mengajak pembaca menjadi pembangkang secara membuta tuli. Namun pemantauan oleh rakyat kepada pemerintah, adalah suatu amalan yang terlalu biasa yang manusiawi, tiada apa yang ganjil. Bukan sahaja sistem pemerintahan Islam, malah mana-mana sistem pemerintahan yang sedar akan ‘keadilan’ menerima kepada adanya saluran untuk mereka yang memerintah, dinasihati oleh mereka yang diperintah.
Tetapi dengan krisis pemikiran yang menimpa umat Islam, kita menjadi komuniti yang pelik.
Yang diutamakan ialah ‘jangan menentang pemerintah selagi mana mereka bersolat’. Ini berpunca daripada kegelojohan untuk memahami hadith tanpa menggunakan alat-alat Syara’ seperti Usul Fiqh, perbahasan mengenai Maqasid dan sebagainya. Apakah tujuan Rasulullah s.a.w mendisiplinkan proses menegur pemerintah? Ada besar hikmahnya di situ. Soal mencegah kemungkaran tanpa menimbulkan kemungkaran yang lebih besar, diberikan keutamaan di situ. Agar jangan sampai semua orang secara semberono membunuh kestabilan masyarakat demi membetul satu dua kesilapan pemerintah.
Tetapi perincian kepada soal ini begitu malas untuk diambil peduli. Yang penting, saya telah petik hadith yang sahih di dalam pendirian saya. Itu kehendak hadith sahih yang saya rujuk. Saya sahih kerana rujukan saya sahih. Rujukan anda apa?
Hanya dengan ‘Islam’, kesilapan dan kesalahan pemerintah dapat didiamkan! Mahukah anda sebagai mangsa kepincangan profil tinggi, dengan Islam yang begini?
Lalu muncullah agamawan yang sibuk memperingatkan rakyat agar mentaati pemerintah lebih daripada peringatannya agar pemerintah mentaati Allah!
Saya sakit kepala memikirkannya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
15 April 2007

Khamis, 21 Julai 2011

Baginda Yang Berbuka Puasa Dengan Tamar Dan Air Itu…


“Alhamdulillah ustaz. 2kg lagi turun semenjak Khamis minggu lalu” kata doktor.
“Alhamdulillah!” saya gembira.
Bersyukur.
“Insya Allah menjelang Ramadan, berat ustaz akan meninggalkan zaman tiga angka. Apabila berat sudah di bawah tiga angka, sudah banyak risiko kesihatan yang berjaya disingkir” jelas doktor.
Lawatan ringkas pagi tadi hanyalah rutin mingguan saya.
Program menurunkan berat badan saya semenjak Mac 2011 bukanlah bermatlamatkan hasil-hasil luaran. Saya melakukannya dengan bersungguh-sungguh kerana mahu memecahkan segala tabiat negatif kehidupan. Kegemukan hanya simptom. Ia bukan masalah dasar. Kegemukan adalah simptom kepada adanya kecacatan pada tabiat di dalam kehidupan kita. Itulah yang mahu saya pecahkan.
DIET DI BULAN RAMADAN
Ramadan semakin hampir.
3 minggu pertama Ramadan, saya akan masih berada di dalam regim 500kcal/day.
Jangan khuatir.
Saya tahu ramai dietitian, sama ada yang profesional mahu pun tidak, ‘menyerang’ plan diet saya ini.
500kcal/day ini bukanlah hanya dengan memotong karbohidrat dan gula. Selain senaman berkala, corak tidur yang dibetulkan dan jumlah air minuman yang dioptimumkan, saya juga menerima bantuan melalui suntikan hCG yang menyebabkan lemak simpanan banyak dibakar. Itulah sumber tenaga harian saya. Lawatan mingguan ke klinik dan pemantauan rapi doktor juga penting untuk memastikan saya tidak mengalami pelbagai jenis malnutrisi atau electrolyte imbalance.
Sebab itu amat penting bagai saya menghitung dan mengetahui secara terpeinci apakah yang saya makan dan tidak makan, minum dan tidak minum dalam satu hari.
Namun apa yang paling mengujakan saya dengan kedatangan Ramadan ini adalah pada nikmat yang satu ini:
Saya tidak sabar hendak mengecapi nikmat berasa cukup berbuka puasa dengan tamar dan air, yang selama 36 tahun hidup ini saya hanya membacanya di dalam Sirah insan luar biasa bernama Muhammad bin Abdullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu.
Catatan yang dirasakan begitu jauh.
Begitu mustahil.
Hingga terlupa, bahawa Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu susuk tubuhnya adalah sama fisiologinya dengan susuk tubuh saya dan anda semua.
Ramadan kali ini jangan kurang daripada berevolusi.
Namun berusahalah untuk berreformasi.
Demi sebuah transformasi.
TRANSFORMASI RAMADAN.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
FB: facebook.com/hasrizalabduljamil
68000 AMPANG

Isnin, 18 Julai 2011

Allah S.W.T Menolak 1 Daripada 3 Doa Rasulullah SAW


'Amir bin Said daripada bapanya berkata bahawa :
" Suatu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu'awiyah lalu beliau masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah S.A.W. Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T. Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud :

" Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu Allah S.W.T hanya memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak.
1. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya ia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan.
Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah S.W.T.
2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh s.a).
Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah S.W.T.
3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam).
Tetapi permohonanku telah tidak diperkenankan (telah ditolak);
Kesimpulannya:
Saudaraku,
Apa yang kita lihat pada hari ini ialah pergaduhan semasa negara Islam sendiri, hari ini orang Islam bergaduh sesama sendiri, orang kafir bertepuk tangan dari belakang.
Apakah ini yang ingin kita lihat? Apakah tindakan kita? Tidakkah kita ingin Islam kembali gemilang seperti dahulu? Bangkitlah wahai saudaraku, tegakkan Islam kembali megah, itu amanahmu! Yakinlah dengan janji Allah S.W.T.
Wallahualam...
Sumber imej : Google Image

Sabtu, 16 Julai 2011

ramadhan lagi..


Lagi Kesilapan Umat Islam Dalam
Bulan Ramadhan & Luar Ramadhan
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

Alhamdulillah, sudah hampir seminggu kita berpuasa dan menjalankan pelbagai ibadah di bulan penuh keberkatan dan keampunan ini. Moga kita sama-sama dapat mempergandakan usaha bagi membersihkan hati dan jiwa yang kerap tercemar dengan pelbagai dosa setiap hari.
Jika sebelum ini saya telah mendedahkan beberapa kesilapan kerap umat Islam pada bulan Ramadhan agar ianya dapat dijauhi sebaiknya, kali ini saya berhasrat untuk membuat beberapa penambahan lagi sebagai panduan bagi rakan-rakan umat Islam yang dikasihi sekalian. 


Perbetulkan Amalan Kita Selaras Kehendak Allah dan rasulNya

Tanpa mengetahui yang salah, umat Islam mudah terjebak melakukan dosa-dosa ini, dan sebahagiannya bukan suatu dosa kecil yang boleh dipandang ringan. Malah jika ia dosa kecil sekalipun, sesungguhnya sebuah gunung terbina dari tanah dan batu yang kecil. Justeru, dengan mengenalinya serta melakukan koreksi segera, InshaAllah, kebaikan adalah untuk kita juga.
Berikut adalah beberapa lagi perkara yang amat perlu dielak di khususnya di bulan Ramadhan ini, malah ia juga adalah suatu kesilapan di luar Ramadhan (namun pastinya ia hanyalah sebahagian kecil dari senarai panjang larangan dan perkara yang perlu dielak):-
1)      Berjalan di hadapan orang yang sedang solat ;
Sebagaimana yang kita lihat, di bulan Ramadhan ini ramai individu yang amat jarang menunaikan solat di masjid akan hadir berbondong-bondong ke masjid bagi memperolehi pahala sunat tarawih. Hasilnya, ramailah orang yang kurang ilmu, tidak faham adab dan tatacara di masjid juga telah hadir.
Menurut pengalaman di masjid-masjid dan surau, saya dapati terlalu ramai individu yang lalu lalang di hadapan orang yang sedang solat sunat. Disebabkan masjid yang penuh dan pelbagai ragam manusia, seringkali ada yang keluar masuk.
Sedarlah bahawa lalu di hadapan orang yang solat itu adalah suatu dosa yang amat besar, manakala membiarkan orang lalu tanpa bertindak juga adalah suatu kesalahan.
Nabi s.a.w menegah dengan katanya :-

‏لو يعلم المار بين يدي المصلي ماذا عليه لكان أن يقف أربعين خيرا له من أن يمر بين يديه قال ‏ ‏أبو النضر ‏ ‏لا أدري أقال أربعين يوما أو شهرا أو سنة
Ertinya : Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang solat itu tahu sebesar manakah dosanya, nescaya ia berhenti menunggu selama lebih 40 (tahun, hari dana bulan) adalah lebih baik dari ia lalu di hadapan orang yang solat itu. (perawi berkata : aku tidak pasti nabi menyebut 40 hari, bulan atau tahun) ( Riwayat Al-Bukhari)
Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam An-Nawawi yang berkata :- "hadis ini menunjukkan besar dosa, bagi seseorang melintas di hadapan orang yang sedang solat dan makna hadis ini membawakan larangan keras dengan balasan yang dahsyat, justeru ia tergolong dalam kategori dosa-dosa besar" (Rujuk Fathul Bari, Ibn Hajar )
Ibu bapa kerap membawa anak mereka di masjid di waktu begini. Menjadi kemestian ke atas ibubapa untuk menjaga anak mereka sedaya mampu, agar tidak bertindak berlari di hadapan orang yang sedang solat ini.
2)      Membiarkan orang lalu dihadapannya (ketika solat) tanpa di tahan.
Jika lalu di hadapan orang yang sedang solat adalah kesilapan, maka ia juga satu kesalahan bagi bagi orang yang sedang solat itu sekiranya ia tidak bertindak menghalang.
Nabi s.a.w menyebut :- 

‏إذا صلى أحدكم إلى شيء يستره من الناس فأراد أحد أن يجتاز بين يديه فليدفع في نحره فإن أبى فليقاتله فإنما هو الشيطان
Ertinya : Apabila seorang kamu menunaikan solat dengan telah ada petanda atau penghadang di hadapan kamu dari orang ramai (sebagai isyarat tempat ia solat- ia dinamakan 'sutrah'), tiba-tiba ada orang yang ingin melintas di hadapanmu, hendaklah kamu menahannya dari lalu, sekiranya dia enggan hendaklah kamu lawaninya dengan kuat kerana dia adalah Syaitan.' (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, lafaz di atas riwayat Abu Daud )
Kita perlu menyedari bahawa solat adalah satu munajat berdua-dua dan berhadapan dengan Allah s.w.t, mana mungkin dibenarkan ada orang yang lalu melintas tatkala kita sedang berdua-duaan dengan Allah secara 'face to face'.
Apa pandangan anda jika kita sedang ingin menerima 'scroll' ijazah dari seorang canselor yang juga merupakan seorang sultan, tiba-tiba ada orang mencelah di antara kita dengan sultan tersebut?, Sudah tentu yang lalu tadi akan menerima darjah dan sijil 'pelempang' (penampar) dari sultan tersebut agaknya. Kerana ia adalah penghinaan kepada sultan dan penerima ijazah tadi sekaligus.
Nabi bersabda :-
المصلي يناجي ربه
Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan tuhannya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 413 ; Muslim , no 551  )          
Hanya orang yang tidak khusyu' sahaja yang akan membiarkan orang lalu di hadapannya ketika solat. Kerana ia tidak dapat merasakan solatnya adalah suatu majlis yang hebat dan 'grand', tiada perasaan langsung bahawa ia sedang berhadap dengan Allah. Hasilnya, tiada sebarang larangan orang ingin lalu dihadapannya atau tidak. Tiada sebarang rasa terhina atau menghina Allah s.w.t.

3)      Meludah di masjid
Maklumlah, hadir ke masjid selepas berbuka dengan perut penuh, di musim selsema dan berkahak ini, ramai kelihatan meludah di sana sini di masjid. Makin ramai makin banyak ragamnya.
Ketahuilah Nabi s.a.w menegah kita meludah sesuka hati di masjid, sebagaimana kata baginda :-
‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏البزاق في المسجد خطيئة وكفارتها دفنها
Ertinya : Meludah di masjid adalah satu dosa (kesalahan), dan sebagai balasannya, hendaklah ia melupuskannya ludahnya tadi dengan menimbusnya" ( Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud )
4) Membiarkan anak bermain mercun berdekatan masjid, deringan telefon bimbit berbunyi, menoleh kiri dan kanan sewaktu menunaikan solat.
Ini adalah satu lagi kesalahan yang berlaku secara kerap di masjid tatkala bulan Ramadhan. Sekali lagi ia adalah disebabkan ramainya menunaikan solat terawih di masjid dan agak ramai juga yang membawa hand phone masing-masing yang tidak di ubah nada deringannya kepada ‘silent mode'.
Menurut pengamatan saya, hukum mematikan ‘handphone' sewaktu solat jemaah dan solat secara individu adalah wajib (dimestikan).  
Ini kerana :-
a- Tegahan dari terpesong minda & hati : Nabi tidak membenarkan umatnya terpesong minda, hati dan wajah semasa menunaikan solat. Tegahan Nabi ini boleh dilihat dari hadith berikut:-
إن الرجل لينصرف وما كتب له إلا عشر صلاته تسعها ثمنها سبعها سدسها خمسها ربعها ثلثها نصفها
Ertinya : " Seseorang yang beransur dari solatnya dituliskan baginya pahala dari persepuluh pahala solatnya, 1/9,1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3  atau ½ " ( Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie , Shohih menurut Ibn Hibban )
فإن هو قام وصلى فحمد الله تعالى وأثتى عليه ومجده بالذي هو أهل وفرغ قلبه لله تعالى إلا انصرف من خطيئته كيوم ولدته أمه
Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang berdiri dan solat serta memuja muji Allah SWT dengan pujian yang selayak bagiNya, serta mengosongkan hatinya bagi Allah SWT kecuali tatkala ia keluar dari dosa-dosanya seperti anak yang baru dilahirkan"( Riwayat Muslim)
Larangan menoleh ke kiri dan kanan sewaktu solat pula ditegah sebagaimana kata Nabi :-
فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ
Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud ; fath AL-Bari , 2/304 )
Justeru, difahami dari zahir dan objektif di sebalik tegahan-tegahan ini, kita akan mendapati mesej baginda nabi s.a.w amat jelas untuk seseorang menumpukan hati dan mindanya kepada Allah SWT semasa solat. Dengan kumpulan dalil-dalil ini saya kira telah cukup untuk menunjukkan kepentingan dan kewajiban menutup hand phone semasa solat.
                                                                
b- Tegahan dari menganggu ahli jemaah yang lain
Sebagaimana kita fahami, bahawa bunyi handphone ini mampu mengganggu seluruh ahli jemaah yang sedang menunaikan solat. Terutamanya jika ia bermuzik dengan lagu dangdut, pop, rock yang pelbagai maka sudah tentu dosa pelakunya lebih besar.
Keadaan ini dapat difahami dari tegahan Nabi SAW terhadap umat Islam yang datang ke masjid dengan setelah memakan makanan berbau dan busuk. Nabi SAW besabda :- 
‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته
Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )
Kesimpulannya, wajib menutup hand phone semasa solat sendirian dan berjemaah. Sekiranya terlupa dan handphone berbunyi, maka wajiblah bergerak sedikit untuk menutupnya.
Pergerakan  
Pergerakan ini tidak membatalkan solat kerana ia adalah pergerakan wajib, sebagaimana Nabi SAW mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil semasa solat. Diriwayatkan
أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أمر بقتل الأسودين في الصلاة العقرب والحية
Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan agar membunuh dua binatang bias walaupun ketika solat iaitu kala dan ular (jika ia menghampiri ketika solat) ( Riwayat Ibn Majah, no 1235 )
Hasilnya, jelas kita dapat memahami bahawa wajib juga bagi seseorang untuk bertindak ‘membunuh' bunyi handphone nya yang mengganggu jika berbunyi kerana ia amat berbahaya dan merosakkan ketenangan orang sedang solat, sebagaimana bahayanya kala dan ular.
5)      Lelaki hadir ke masjid dengan berbau busuk, perempuan pula berwangian.
Telah banyak kali saya sebut di dalam web ini bahawa wanita ditegah memakai wangian sewaktu bercampur dengan lelaki bukan mahram di tempat umum termasuk masjid. Manakala lelaki pula disunatkan berwangian ke masjid.
Sebagaimana ingatan Nabi :-
‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته
Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )
6)      Tidur semula selepas sahur
Telah disebutkan bahawa waktu sahur adalah waktu yang dipenuhi keberkatan dan kemaqbulan doa. Justeru, tabiat tidur semula setelah makan sahur sementara menunggu waktu subuh adalah satu kesilapan. Inilah tabiat yang menyebabkan masjid dan surau tidak penuh di waktu subuh.
Tidur selepas makan sahur menyebabkan tubuh menjadi semakin layu dan mengantuk yang amat sangat. Keadaan ini pastinya menjadi punca solat subuh di rumah berseorangan atau lebih teruk, terlewat subuh.
Amat rugilah mereka yang tidak menjaga waktu sebegini serta tidak mengisinya dengan doa dan istighfar.
Allah berfirman :-
الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالأَسْحَارِ
Ertinya : "Orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur"  ( Al-Imran : 17 )
7) Menunaikan semua solat sunat di masjid dan tiada di rumah.
Tidak dinafikan, di bulan mulia ini ramai yang berusngguh ingin mendapatkan pahala sunat, solat sunat kerap dilakukan sejurus solat fardhu di masjid dan surau.
Cuma orang ramai perlu tahu bahawa, solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah berbanding di masjid dan surau, ia lebih mampu menjaga diri dari perasaan riya, ujub dan takbur.  Kecualilah solat sunat terawih dan bagi individu yang jauh rumahnya dari masjid, hingga terpaksa menunaikan solat-solat sunat selepas dan sebelum solat fardhu di masjid.
Bagaimanapun, adalah satu kesilapan sekiranya tidak dilaksanakan sebarang solat sunat ketika di rumah, seperti solat tahajjud, witir dan lain-lain.
Nabi s.a.w bersabda :-
اجعلوا من صلاتكم في بيوتكم ولا تتخذوها قبورا
Ertinya : jadikanlah sebahagian dari solat kamu di rumahmu dan jangan biarkan rumahmu menjadi seperti kubur ( akibat tiada solat sunat)" (Riwayat Muslim)
Majority ulama berpendapat solat sunat lebih baik dilaksanakan di rumah disebabkan ia lebih tersorok daripada pandangan ramai ( Syarah Sohih Muslim, Imam An-nawawi )
8)      Wanita berhias dan membuka aurat di luar rumah
Saya kira, isu ini telah banyak saya sentuh di web ini, malangnya ia seakan-akan satu fenomena yang amat sukar untuk diubah walaupuan di ketika datangnya bulan dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini.
Sedarilah, kegagalan kita untuk berubah kepada yang lebih baik di bulan ini bakal menyaksikan kejahatan diri akan semakin mudah meningkat di bulan-bulan lain.
 
9)      Merendah dan 'kondem' wanita yang cuba berubah dengan bertudung, tutup aurat dan tidak berhias di bulan ramadhan.
Saya juga mendapat info bahawa sebahagian golongan yang merendahkan percubaan perubahan diri dan perkara baik yang dilakukan oleh rakan setugas dan kenalannya di bulan Ramadhan ini. Ada yang mengeji, menuduh hipokrit, mengutuk kononnya 'bungkus sebentar' dan macam-macam lagi kutukan.
Buat pihak yang mengutuk, sedarilah, anda sebenarnya sedang menjauhkan orang dari Islam dan hidayah Allah.  Disebutkan dalam sebuah hadis :-
‏لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن ‏ ‏تلقى أخاك ووجهك منبسط
Ertinya : "Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranay dengan wajah yang senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 )
Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang terutamanya di bulan baik ini, kita ditegah untuk memperlecehkannya.
10)  Banyak berdoa tetapi tidak memahami apakah maksud doanya
Ini satu lagi penyakit yang menular meluas dalam masyarakat kita, memang amat baik untuk menghafal doa yang sohih dari Al-Quran dan dari baginda Nabi s.a.w, tetapi ia akan tergugat apabila anda tidak memahami apakah doa yang diulang-ulangnya itu.
Saya kerap kali terjumpa tuan imam yang membaca dari buku sahaja doa yang panjang lebar, dengan tergagap-gagap. Selepas tamat saya cuba bertanya adakah beliau faham kandungan doa itu, ia berkata hanya faham 10 % sahaja. Mujurlah ada yang faham, bagaimana jika 0 % faham.
Jika tuan imam hanya 10 % faham, bagaiamana pula dengan makmum dari orang biasa ini?. Bolehkah doa tanpa faham ini menjadi maqbul dengan serta merta ?, bolehkah sesuatu doa yang tidak difahami maskudnya boleh lahir dari hati, jiwa dan penuh perasaan dari orang yang berdoa?.  Perbincangannya mungkin seidkit panjang, Cuma cukuplah saya ingin mengingatkan ia adalah salah satu bentuk kesilapan di bulan Ramadhan yang dipenuhi doa ini.
Segeralah mencari terjemahan doa yang anda baca agar kesungguhan meminta apa yang diucapkan sampai kepada Allah s.w.t.
Nabi s.a.w mengingatkan :-
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لا يَسْتَجِيبُ
 دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاهٍ
Ertinya : "Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ianya diterima Allah, dan ketahuilah Allah tidak menerima doa dari orang yang hatinya lalai dan tidak bersungguh" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3479 : AlMunziri dan Albani : Sanad & Hadis Hasan )

11) Berterusannya tenggelam dalam syahwat
Bagi sebahagian remaja dan anak muda, mereka meneruskan aktiviti biasa mereka dengan bergayut di telefon bersama pasangan, atau lebih buruk, aktif ‘berdating' di musim Ramadhan ini dan pelbagai aktiviti bersyahwat dan nafsu mereka. Ibu bapa pula seolah sudah habis usaha, buntu aqal untuk mencari jalan terbaik mengelakkan aktiviti buruk si anak dari berterusan. Jika ini berlaku, dosa lebih banyak yang bertambah sejurus keluar dari bulan mulia ini. Selain itu, mereka yang menamatkan Ramadhan dengan dosa yang lebih banyak, pastinya akan semakin menjauh dari Allah swt. Manakan tidak, di bulan bergandanya pahala dan ditutup pintu neraka pun masih ditewaskan oleh nafsu, apatah lagi di ketika Syaitan bebas dari belenggunya. Moga kita dijauhkan Allah.

12) Tidak merapatkan saf semasa solat berjemaah
Jarak dua kaki menjadi penting dan tergolong dalam sunnah yang khusus apabila menunaikan solat secara berjemaah. Ini kerana ketika solat berjemaah, saf perlu dirapatkan bersumberkan hadis-hadis yang banyak antaranya :
أقِيمُوا صُفُوفَكمُ وَتَراصَوْا فإني أرَاكم مِنْ وَرَاء  ظهْري   
Ertinya : "Luruskanlah saf kamu (ketika solat) sesungguhnya aku nampak kamu dari belakangku"( al-Bukhari ) [1]
لتسوُنَّ صُفُوفَكُم أوْ لَيُخَالِفَنَّ الله بين وُجُوهِكم
Ertinya : "Mestilah kamu meluruskan saf kamu atau Allah akan mengalihkan wajah-wajah kamu"  (Abu Daud) [2]
Erti bagi pengalihan wajah ini ditafsirkan oleh para ulama sebagai :
a-    Benar-benar wajah akan dialihkan oleh Allah swt kelak.
b-    Perpecahan hati dan hilang kesatuan, pergaduhan juga akan semakin subur. Demikian huraian Imam An-Nawawi.
Hadis di  atas amat penting dan memberikan ancaman bagi mereka yang bermalasan dalam merapat dan meluruskan saf. Ia menunjukkan besarnya kesalahan tidak melurus dan merapatkan saf, berdasarkan hadis tersebut, para ulama menyatakan hokum wajib bagi merapatkan saf ketika solat jemaah.
Tanpa displin tersebut akibatnya adalah manusia akan berada dalam rasa keegoan masing-masing hingga merasakan geli untuk menyentuh kaki ahli jemaah di sebelah mereka, di samping itu ia juga meunjukkan jemaah tersebut kurang ilmunya hingga akhirnya tindakan ini jika dibiasakan maka Allah swt akan membiarkan berlakunya permusuhan dan pertengkaran dalam masyarakat ini. [3] 
Melurus dan merapatkan saf bererti mesti menjaga kaki, justeru dalam keadaan tersebut, perlu di ingat kadar yang telah diletakkan oleh para ulama di atas.
Bagi memperolehi kualiti yang terbaik dan pahala terbanyak maka pandangan yang disarankan menurut penulis dalam hal jarak antara dua kaki ini adalah seperti berikut :-
Ketika solat berjemaah, jarak yang terbaik adalah, sehingga menyentuh jari kaki ahli jemaah lain disebelah kita. Ia sekaligus mempertautkan ukhuwwah serta mampu membuang rasa keegoan diri. Terdapat banyak hadith yang menyokong kesimpulan ini, antaranya hadith shohih riwayat al-Bukhari menyebut :
وكَانَ أحَدُنَا يُلزِقُ مَنْكِبَهُ بمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَقَدَمُه بقدمِه
Ertinya : "Adalah semua kami (sahabat) bersentuh bahu kami dengan yang lain, demikian juga hujung kaki" ( Riwayat al-Bukhari) [4]



 

Ni gambar sungai bukan syurga ok..
 
Akhirnya, semoga kesilapan ini dapat dielakkan di ketika kita menghidupkan Ramadhan dan berterusan dapat dielakkan selepas Ramadhan. Saya izinkan disebarluaskan artikel ini di masjid, surau, fotostatlah sebanyak mungkin demi manfaat rakan muslim kita. Semoga kita dapat sama-sama ke syurga Allah s.w.t ..ameeen.
 


Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
6 Ramadhan 1428 H
18 September 2007