Ahad, 10 Julai 2011

Jangan Takut Kahwin Awal



Bagaimana seorang pelajar tahun akhir universiti yang hampir bunuh diri kerana depresi (tekanan) setelah ditinggalkan kekasih mengubah kehidupannya 180 darjah menjadikannya insan yang paling bahagia di muka bumi ini dengan perkahwinan di usia awal. Berikut adalah coretan terus dari hati dan mata pena beliau.

*****
Saya berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami saya berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, "Nak bagi bini makan apa? Pasir?"
Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh kami 'declare', untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun, saya ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur, saya hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak berhubung dengan dunia luar.
Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran suami saya yang sudah 4 tahun menunggu peluang. Pada mulanya, saya ingat sekadar 'cinta rebound', tetapi selepas 2 bulan berkenalan dan bercintan, suami saya melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya ingat satu gurauan. Akhirnya si dia berani hubungi ayah saya dan minta izin untuk berkahwin kerana takut kehilangan saya lagi.
Ayah saya pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat ijazah.
Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2 bulan untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan saya sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis, kami bernikah.
Simple bukan? Kenapa perlu pening?
Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda.
Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, hantaran RM10K ke atas). Perlu tidak?
Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri, saya tidak perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin cara Melayu; bukan cara Islam.
Saya perempuan lulusan ijazah, saya ada tulang 4 kerat, dan saya boleh berusaha, kenapa perlu mengharap dengan lelaki? Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.
Kos kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran, majlis, belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan masih ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.
Kenapa perlu buat majlis di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal untuk katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan peralatan. Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul depan orang.
"Seganlah. Nanti orang kata apa."
"Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran."
Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah.
Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan untuk anak pertama. Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin bukan murah. Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada RM400-500. Tapi di hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat tinggi sekarang.
Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di pasar? Harga lampin pakai buang? Dan sekarang, anda masih terfikir pelamin itu penting? Ini tak kira duit nak beli kenderaan, beli rumah. Pening!!
Jadi jangan bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak perlu.
Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut dan malu, disentuh lelaki bukan mahram. Dan suami saya tidak perlu takut saya diambil lelaki lain seperti dahulu. Apa semua yang pasangan bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami boleh lakukan lebih dari itu, dengan halal. Tidak perlu risau. Kami aman dan bahagia. Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar mengenal sesama sendiri. Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.
Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. Saya dan suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya mampu tanggung hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa menyusahkan suami? Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi pelajar perubatan, anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Saya tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur cintakan suami saya. Saya tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa senang dengan saya.
Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima.
Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. Dan bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan dan kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian, perbezaan itu melengkapkan.
Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia.
Nota : Perkongsian di atas merupakan satu contoh bahawa perkahwinan di usia muda merupakan satu pilihan atau option yang ada bagi masyarakat kita. Walaubagaimanapun, keputusan mendirikan rumah tangga perlu dibuat dengan hikmah bergantung kepada keadaan pasangan masing-masing kerana kehidupan selepas bernikah adalah cabaran sebenar dan pastinya kita inginkan rumah tangga yang berkekalan sehingga akhir hayat.
"Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptkan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu BERSENANG HATI dan hidup MESRA dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan KASIH SAYANG dan BELAS KASIHAN." (Surah Ar-Rum, 21)
Sumber Grafik: testi.iluvislam.com

Khamis, 7 Julai 2011

Awak, Kenapa Kahwin Dengan Saya?

"Aku terima nikahnya Fatimah Az-Zahrah binti Mohamad Nasir dengan mas kahwin RM80.00 tunai".
Dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri. Lidahku kelu tidak mampu berkata apa-apa. Perasaanku bercampur baur. Pipiku terasa hangat dan basah. Aku tidak pasti mengapa air mataku jatuh sedangkan aku sepatutnya gembira dengan pernikahan ini.

Abdul Rahman bin Abdullah, itu lah nama jejaka yang kini telah sah menjadi suamiku. Dialah yang akan menjadi teraju masjid yang telah kami bina. Orangnya tinggi, kulitnya agak cerah, matanya bersinar, wajahnya seakan-akan bercahaya. Mukanya tidaklah persis Orlando Bloom yang dinobatkan menjadi "hot papa", mahupun Kim Hyun Joong yang menjadi kegilaan ramai gadis. Dia tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap mata memandang.

Dirinya memang selalu menjadi buah mulut orang. Apakan tidak, sudahlah mukanya manis di pandang, di tambah pula dengan sikapnya yang zuhud. Ya, dia seorang yang taat kepada Maha Pencipta, Tuhan Sekalian Alam. Selepas sahaja dia melafazkan akad, dia terus lakukan sujud syukur. Sungguh. Dia memang menjadi idaman siapa sahaja yang melihatnya. Aku juga aneh kenapa dia memilih aku? Sedangkan dia begitu baik, begitu alim, begitu sempurna..

Hingga detik ini aku masih belum mendapat jawapannya. Kenapa aku yang dipilihnya? Aku bukanlah baik mana. Kalau diikutkan, di luar sana, masih ada berjuta wanita yang boleh dipilihnya. Masih ramai lagi yang lebih baik daripadaku. Tapi, kenapa aku? Pakai tudung pun masih tidak pecus lagi. Kerap kali pemakaian tudung ku masih tidak mengikut saranan agama.

"Alhamdulillah. Sekarang, kita sah menjadi suami isteri. Abang harap, dengan penyatuan kita, dapatlah kita sama-sama berjuang ke jalan Allah", ujar suamiku menghentikan lamunanku sebentar tadi.
Di pandangnya wajahku, kemudian di lapnya benih-benih jernih yang keluar dari kelopak mataku. Selepas disarungkan cincin ke jari manisku, kusalam tangannya. Dia kemudiannya mencium dahiku. Entah kenapa pada waktu itu aku terasa tenang. Aku dapat rasakan keselamatan yang selama ini tidak pernah kurasakan dengan mana-mana lelaki lain. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Air mataku tetap laju merembes keluar dari hujung pagar kelopakku.

"Alhamdulillah, anak mak sudah jadi isteri orang sekarang ni. Jadi isteri ni, tak mudah. Tapi, banyak ganjarannya. Lepas ni, kamu kena duduk dengan suami, jaga makan minum suami. Pesan mak jangan lupa, ya nak. Kata suami jangan ingkar", pesan ibuku sebelum aku pergi mengikut suamiku pulang ke rumah baru kami.
***
"Zahrah, dari tadi Abang tengok Zahrah diam je. Kenapa? Zahrah tak sedap badan ke?" tanya suamiku memecahkan kesunyian yang tercipta di antara kami.

Aku masih tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ku gelengkan sahaja kepalaku menunjukkan kepadanya bahawa aku tidak apa-apa. Namun, dia terus ajukan soalan kepadaku,"Dah tu, kenapa Zahrah diam? Zahrah rindu mak ye?"


 Usikannya langsung tidak mendapat respon daripadaku. Aku masih duduk kaku di sofa ruang tamu rumah kami.

Alhamdulillah. Biarpun, rumah kami tidaklah besar mana tapi cukup dengan kelengkapan rumah. Set sofa, televisyen, peti sejuk, semuanya sudah lengkap tersedia. Suamiku memang benar-benar bijak merancang sebelum berkahwin. Dilengkapi dulu segalanya sebelum dia masuk merisik si gadis sunti.

Perlakuanku yang dari tadi diam membisu ibarat seorang anak kecil yang baru lepas dimarahi menyebabkan si dia mengambil keputusan untuk mendekatiku justeru terus mengatur langkah ke arahku dan mengambil posisi betul-betul di sebelahku. Di pegangnya pipiku, diusapnya kepalaku. Wajahnya begitu tenang menyebabkan aku turut tenang. Terus terdetik dalam hatiku 'Ah, untungnya badan.

Sudahlah kacak, baik pula tu' Ditenungnya mataku dalam-dalam sebelum dia bertanyakan semula padaku, "Zahrah, kalau awak tak selesa Abang faham. Ni kali pertama awak hidup tanpa parents kan. Abang faham Zahrah. Susah bagi awak nak terima semua ni. Tapi, dari tadi  Abang tak nampak pun Zahrah senyum. Kot ye pun, senyum lah sikit. Zahrah comel tau kalau senyum," dia cuba memujuk agar aku mengukir senyuman.

Entah kenapa, bibirku mula mengukir senyuman. Aneh. Kenapa aku akur dengan kata-kata dia? Ah! Aku tidak mahu lagi berada dalam kekeliruan. Aku perlu tahu kenapa dia beria-ia mahu menikahi aku. Gadis yang begitu banyak kelemahannya. Gadis yang tak pernah pun ambil peduli pasal dia malah aku tak pernah mengenalinya secara dekat sebelum ini. Oleh sebab itu aku perlu tahu. Aku ni sekadar pelengkap hidup dia yang sememangnya lengkap tu ke? Ye lah. Semuanya dia ada. Yang kurang, cuma isteri. Lagi-lagi umur dia yang dah masuk 30-an. Entah-entah aku ni pilihan dia yang terakhir.

"Hmm.... awak, kenapa awak nak kahwin dengan saya?" ayat pertama yang keluar dari rongga mulutku setelah bergelar suami isteri.

"Laa.. Sebab tu je ke. Zahrah cuma nak tahu tu je? Tu yang Zahrah diam membisu dari tadi?", ujar sang suami diikuti ketawa kecil.

"Awak, saya tanya kenapa awak nak kahwin dengan saya?" tanyaku dengan nada yang lebih tegas.
"Hmm... Zahrah nak Abang jawab macam mana? Biar Abang jawab asalkan isteri Abang senyum," soalanya kembali dengan lemah lembut.

"Awak, saya tak main-main ni. Saya tanya sekali lagi. Kenapa awak kahwin dengan saya?" bentakku.
"Okay. Abang akan jawab. Tapi, sebelum tu boleh Abang tahu kenapa Zahrah kahwin dengan Abang?" Soalnya pula seakan ingin menjeratku kembali.

Terkaku kelu lidahku mendengar ungkapan balas darinya. Ya, kenapa aku mengahwininya? Kalau aku tidak mahu, boleh saja aku katakan tidak. Tapi, kenapa aku terima? Kenapa aku tidak membantah di saat ibu dan ayah menjodohkan aku dengan dirinya? Apa yang membuatkan aku tertarik dengan si dia? Sebab wajahnya kah? Atau sebab kebijaksanaan si teruna? Atau mungkin kerana keimanannya? Aku tidak tahu. Aku keliru.
"Kenapa Zahrah membisu?" tanya si suami membuatkan aku tersedar.

"Saya tanya awak dulu kan! Awak jawab je lah! Jangan nak ubah topik boleh tak?" Bentakku sudah hilang sabar kerana terasa seolah sedang dipermainkan.

Dia agak terkejut dengan nada ku yang tinggi itu. Namun dia tidak marah. Yang menghairankan ku lagi, dia cuma tersenyum.

"Abang kahwin dengan Zahrah sebab Allah," ujarnya ringkas tetapi seakan penuh makna.

"Awak, dari dulu sampai sekarang itu je yang awak kata. I need your explanations! Please, I need to know the truth. Stop fooling around with God's name, boleh tak? Kalau awak nak menarik perhatian saya dengan jawapan awak tu, fine! You've made it! Saya tertarik bila dengar awak cakap macam tu. Tapi, sekarang please lah! Since, kita memang dah sah jadi husband and wife, I need to know why. And by saying that, I mean, explanation. saya tak nak hidup dalam kekeliruan. Hidup dalam sangkaan yang awak kahwin dengan saya sebab saya ni last choice. I'm tired of being the person who people i'll turn to bila diorang tengah lonely. Bila diorang dah tak ada tempat lain untuk mengadu, untuk berseronok, untuk bergelak tawa, baru diorang nak cari saya. Saya penat diperlakukan sebegitu. Awak faham?" jawabku panjang dan keras.

Ku palingkan mukaku darinya. Entah kenapa aku begitu takut untuk berkata kasar tepat pada wajahnya. Entah kenapa secara automatik aku berkata begitu tanpa ada sedikit pun keberanian memandang mukanya.
Sekali lagi, dia mengalihkan wajahku tepat memandang wajahnya. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Tiada langsung bara kemarahan yang dapat dilihat dalam irisnya.

"Abang kahwin dengan Zahrah cuma ada satu sebab. Tak lebih, cuma satu. Orang lain, mungkin ada banyak sebab tapi bagi Abang, cukuplah satu sebab Abang. Abang kahwin dengan Zahrah bukan sebab Zahrah cantik. Abang akui, Zahrah memang cantik. Tapi, jujur Abang katakan kalau Abang nak cari yang lebih cantik, Abang boleh. Tu langsung tak menjadi masalah. Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab Zahrah bijak. Buat apa Abang kahwin dengan orang yang bijak yang satu hari nanti berkemungkinan besar akan pijak kepala Abang? Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab kemewahan. Tidak Zahrah, tidak sama sekali. Kalau mahukan kemewahan, segalanya Abang dah ada. Rumah.. Kereta... Walaupun tidaklah sebagus dan semahal mana, tapi sekurang-kurangnya Abang ada," balasnya lembut penuh hikmah dengan makna yang amat mendalam.

Kata-katanya lagi sekali membuatkan flood gate ku mula penuh hanya menanti masa untuk dirembeskan. Aku benar-benar kaget mendengar ucapannya. Seketul organ yang aku bawa selama ini, yang aku jaga daripada dipermainkan oleh mana-mana insan yang bergelar lelaki bagaikan ditusuk dan dirobek-robek halus oleh kata-katanya. Sinis sungguh arjuna ini! Mentang-mentang aku sudah sah menjadi isteri, boleh pula dia suka-suka hati cakap macam tu kat aku. Indah khabar dari rupa sungguh! Mahu sahaja aku tampar mukanya. Namun, entah kenapa badanku terus diam kaku. Seakan-akan masih menanti kata-kata yang bakal keluar dari bibirnya.

"Zahrah nak tahu kenapa Abang kahwin dengan Zahrah? Jawapan Abang memang takkan berubah, sayang. Tidak kiralah macam mana pun Zahrah tanya Abang, jawapan Abang tetap sama. Abang kahwin dengan Zahrah kerana Allah. Allah yang menentukan jodoh kita. Rusuk Abang, ada pada Zahrah. Jadi, siapa yang dapat melindungi hati Abang melainkan Zahrah? Mungkin Zahrah fikir kita tidak secocok. Tapi, ini semua perancangan-Nya, Zahrah. Kecantikan Zahrah, kebijaksanaan Zahrah, kemewahan Zahrah, itu semua tidak menarik Abang kepada Zahrah. Apa yang menarik Abang pada Zahrah adalah Allah. Segalanya telah Allah tentukan. Bila kita lahir, bila kita meninggal, siapa jodoh kita, berapa banyak rezeki kita, semua itu Allah telah tetapkan, sayang," tutur suamiku ikhlas.

Sekali lagi, kata-katanya menusuk kalbuku. Kali ini, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Tersedu sedan aku menangis mendengar kata-katanya. Terus dipeluknya aku erat. Saat ini, aku terasa nyaman. Selamat sungguh aku rasa dalam pelukannya. Biarpun tangisan ku semakin menjadi-jadi, tapi hatiku seolah-olah mendapat satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.

"Apa yang boleh Abang katakan, Abang tidak mungkin akan mengungkapkan kata-kata seperti orang lain. Bermanis mulut mengatakan isterinya begini begitu, menjawab persoalan mengapa dia mencintai isterinya dengan memberikan pelbagai perumpamaan. Abang tidak mampu melakukan semua itu. Tapi, kalau itu yang Zahrah mahu, Abang usahakan. Dengan izin-Nya, insya-Allah, Abang cuba. Tapi, tolong jangan terus menerus mempersoalkan ini dan itu. Ini semua kehendak Yang Maha Esa, sayang. Kita Muslim, kepercayaan kepada Allah adalah asas. Itu tonggak kebahagiaan kita dunia akhirat. Abang harap, Zahrah faham. Kita hidup atas dunia ni sementara," pujuknya tatkala melihat aku mulai menangis.

"Ta....tapi..... Abang tak kenal pun Zahrah... Abang tak pernah tahu pun hati budi Zahrah," aku cuba menduganya dalam sedu-sedan.

"Sekarang pun, kita boleh kenal antara satu sama lain kan? kita dah jadi suami isteri, lebih mudahlah Abang nak kenal isteri Abang, tak gitu?"


"Ta....tapi..... Abang tak tahu siapa Zahrah. Zahrah ni jahat. Abang baik. A..." aku masih ingin menduganya. Aku mahu dia tahu aku bukanlah sebaik dirinya. Aku tidak setaraf dengannya.

Dilekapkan jari telunjuknya ke bibirku. "Tiada siapa yang boleh menentukan kebaikan seseorang melainkan Allah, sayang. Tiada seorang pun. Hanya Allah yang selayaknya untuk memutuskan siapa yang baik, siapa yang tidak."


Kualihkan jari runcingnya dari bibirku, lantas ku pandang wajahnya. Memang benar kata orang, memang sejuk mata memandangnya. Dia masih kelihatan begitu tenang biarpun aku sudah mengasarinya. Hebat sungguh arjuna ini mengawal emosinya. Aku mengerti jika dia marah. Sudahlah baru sahaja selesai resepsi, penat masih belum hilang, tak semena-mena isterinya pula buat hal. Kagum sungguh aku dengan lelaki yang telah selamat menjadi suamiku.

"Abang, Zahrah minta maaf. Zahrah tak bermaksud nak berkasar dengan Abang. Tapi, bila ada yang mempersoalkan sebab kita berkahwin, Zahrah jadi keliru. Sungguh" ujarku terketar-ketar dalam tangisan.

Suamiku hanya mendiamkan diri. Dibelainya aku perlahan dengan harapan dapat menenangkan aku.
"Abang sendiri tahu, Zahrah tidaklah secantik mana, tidaklah sebijak mana. Mahu dibanding dengan gadis yang pernah Abang temui, mungkin Zahrah tidak langsung setaraf dengan mereka. Lagi-lagi kita tidak pernah keluar bersama. Alih-alih, kita nikah. Mestilah timbul curiga dalam hati orang" terangku satu persatu.

"Zahrah, sudahlah tu. Abang faham Zahrah inginkan penjelasan. Memang Zahrah berhak tahu kenapa abang berkahwin dengan Zahrah. Im marrying you because of Allah and the answer will remain the same forever. Zahrah percayakan Abang?" Soalnya ingin tahu isi hatiku.

Aku mengangguk tanda setuju.  Tidak ada lagi kalimah yang bisa kususun melainkan ucapan puji bagi Ilahi. Terima kasih, Ya Rabb kerana mempertemukan aku dengannya. Terima kasih, Azza wa Jalla kerana kau mempertemukan aku dengan seorang lelaki yang bisa mendekatkanku dengan-Mu. Terima kasih, Ya Allah!

Sumber imej : Google Image
-Artikel Iluvislam.com

Selasa, 5 Julai 2011

Sudahkah Ia Menjadi Akhlaq?


Jogging itu sudah bagus. Jangan musnahkan ia dengan sesi penutup bersama nasi lemak.
80 hari sudah berlalu.
Makan secara sihat.
Senaman tiga kali seminggu.
Tidur jangan lewat-lewat.
Hidup lebih sihat.
Persoalannya, selepas 80 hari perubahan itu dilakukan, adakah ia sudah menjadi TABIAT?
Selepas 80 hari pilihan-pilihan yang baik itu dijadikan keutamaan, sudahkan ia menjadi AKHLAQ?
‘Berita buruk’ buat semua, ia masih sebuah MUJAHADAH.
“Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya; serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa; sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – Yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih, dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya” [Al-Shams 91: 7-10]
Mujahadah dalam erti kata, masih ada ‘perjuangan dalaman’ untuk membuat pilihan yang betul.
Mahu makan makanan-makanan yang asalnya adalah makanan orang kerja bendang. Sedangkan kerja masih membanting jari di hadapan komputer.
Mahu bersenam, tetapi dilintasi kemalasan, cuaca lebih mendung di mata berbanding realiti sebenarnya, mencari-cari alasan.
Mahu tidur awal, tetapi masih membiarkan kerja-kerja mengheret jaga ke lewat malam.
Tipulah, kalau ada yang kata perubahan-perubahan yang cuba dilakukan ini mudah. Hakikatnya, ia memerlukan usaha gigih yang berterusan.
Hidup sihat adalah ibadat. Ia menjadikan kita lebih hampir dengan Allah.
Nafsu dan Syaitan tidak suka semua itu.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Ahad, 3 Julai 2011

btol kew x psal ni??brtunang tnpa sedar..

Percaya atau x, kita boleh ber”tunang” tanpa sedar?? Yup, kita boleh bertunang tanpa kita sedar, bila seorang lelaki, berhasrat untuk mengambil seorang perempuan untuk dijadikan isteri. Eh, itu memang normal bukan? Tapi, yang anda mungkin x tahu, anda sebenarnya sudah bertunang bila situasi seperti berikut berlaku:
Lelaki menyatakan hasrat ingin menjadikan perempuan itu isterinya, dan perempuan itu bersetuju. Adakah dikira telah bertunang? Padahal tidak ada ibu bapa perempuan tersebut.

Pinang dari segi hukum fiqah, bererti pihak lelaki menyatakan hasrat berkahwin pada pihak perempuan. Itu dipanggil pinang. Bila perempuan menjawab setuju, maka jadilah perempuan itu tunang laki tersebut.

Situasi yang dianggap pinangan:
"Aku nak jadikan kamu sebagai isteriku"
"Kahwinlah dengan kita bila2"
Bila si perempuan bersetuju, dia akan jadi tunang. Sama ada bercakap dalam telefon, tetap dah jadi tunang.

Contoh:
"lelaki sebut dalam telefon, "I nak jadikan u isteri I lah"
Perempuan tersebut jawab, I sukalah, I setujulah, oraitt I’m fine, oklah, I redha atau apa2 yang menunjukkan dia suka dengan “pinangan” lelaki tersebut, maka ia sudah dianggap bertunang.
Jadi, bila dia dah jadi tunang orang tanpa sedar, bila ada lelaki yang meminang, hukumnya haram.
Kita orang melayu time nak tunang duk bawang rombongan 1 bas, bawak barang2 pinangan, itu sebenarnya adalah ADAT bukan dari segi hukum Islam. Dari segi hukum Islam, dah jatuh hukum tunang.
Persoalan ialah bila Ibu bapa xde. Mengikut hukum syarak, kalau perempuan itu sudah diizin pada syarak. Sebagai contoh, perempuan yang cerdik, yang baligh, yang blh berfikir, etc dia sudah dianggap bertunang.
Bila perempuan tu x menepati hukum syarak tersebut, contoh seperti x baligh lagi(baru darjah 3 mungkin), perempuan tu bodoh(x boleh berfikir), gila, dan sebagainya, makanya wali diperlukan untuk jawab “pinangan” tersebut.

Haaa, adakah anda ternganga bila tiba2 tau anda sudah menjadi tunangan orang tanpa sedar?? Haaa, ayokkk, x tau. Hehehe.

Perkataan salam...

Assalamualaikum, Beberapa hari kebelakangan ini tersebar artikel bertajuk JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM", yang dipanjangkan oleh orang yang berlainan. (juga di sini)



Mengapa sampai melarang menggunakan perkataan SALAM?

Perkataan SALAM atau AS SALAM tiada salahnya, malah merupakan salah satu Asmaul Husna. Saya tidak tahu siapa penulis asal artikel ini, yang sangat mengelirukan, kerana ramai yang telah copy & paste dan menyebarkannya. Yang pasti ia bukan bersumber dari Ustaz Zawawi, hanya kata-kata beliau digunakan dalam artikel ini.

Terjemahan ayatnya pun tidak lengkap...terus saja dimaksudkan SALAM itu sebagai SELAMAT TINGGAL...lalu diajak semua orang agar JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM".

Penulisnya menulis:

JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM"

بِسْــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SIAPA YANG MENGGUNAKAN PERKATAAN "SALAM"? apakah maksud disebaliknya??

Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah:"Salam (selamat tinggal)".

Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yangburuk). (QS. 43:89)

فَٱصۡفَحۡ عَنۡہُمۡ وَقُلۡ سَلَـٰمٌ۬‌ۚ فَسَوۡفَ يَعۡلَمُونَ

Terjemahan ayat yang lengkap seperti berikut: (Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): "Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katakanlah: ` Selamat tinggallah! ' Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)! " (Az-Zukhruf 43:89)

Salam maksudnya selamat, dalam terjemahan ayat ini, "salam" bermaksud ucapan selamat tinggal, namun ia tetap sebagai doa keselamatan bagi mereka, agar di suatu masa mereka yang engkar itu akan sedar. Ini dikategorikan oleh ulama tafsir sebagai salam al-Musalamah/al-Mutarakah; iaitu bermaksud selamat tinggal. Sementara salam bagi orang-orang mukmin disebut sebagai salam at-Tahiyyah; iaitu bermaksud mendoakan keselamatan dan keamanan.

Mana boleh kita mengajak orang ramai agar jangan guna kalimah salam, sedangkan salam merupakan salah satu asmaul husna, dan banyak ayat-ayat yang menggunakan perkataan salam untuk mengucap takzim kepada para Nabi. Malah perkataan SALAM itu dari Allah SWT.

سَلَـٰمٌ۬ قَوۡلاً۬ مِّن رَّبٍّ۬ رَّحِيمٍ۬

Salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani. (Yaa Siin 36:58)

Sebagai contoh, saya memetik beberapa ayat Al Quran:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ۬ فَحَيُّواْ بِأَحۡسَنَ مِنۡہَآ أَوۡ رُدُّوهَآ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ حَسِيبًا

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (An-Nisaa' 4:86)

إِذۡ دَخَلُواْ عَلَيۡهِ فَقَالُواْ سَلَـٰمً۬ا قَالَ إِنَّا مِنكُمۡ وَجِلُونَ

Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Selamat sejahtera kepadamu!" Ia berkata: "Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu". (Al-Hijr 15:52)

سَلَـٰمٌ عَلَىٰ نُوحٍ۬ فِى ٱلۡعَـٰلَمِينَ

"Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! " (As-Saaffaat 37:79)

سَلَـٰمٌ عَلَىٰٓ إِبۡرَٲهِيمَ

"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!". (As-Saaffaat 37:109)

Penulis-penulis artikel ini menggunakan kenyataan Al Fadhil Ustaz Zawawi sebagai menguatkan hujahnya, sedangkan tiada kaitan perenggan yang pertama dengan kenyataan Ustaz Zawawi, malah menggunakan gambar Ustaz Zawawi lagi...sangat mengelirukan.

Kita sering berselawat dan memberi salam kepada Rasulullah SAW dengan ucapan,

الصلوة والسلام عليك يا رسول الله، الصلوة والسلام عليك يا حبيب الله

Selawat dan SALAM ke atasmu wahai Rasulullah..

Selawat dan SALAM ke atasmu wahai Kekasih Allah..

Allah SWT memerintahkan kita berselawat dan mengucap SALAM kepada Rasulullah SAW, maksud firman Allah SWT,

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا

"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah SALAM sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Al-Ahzaab 33:56)

“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi SALAM apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.” [Riwayat Al-Tabrani]

Adakah SALAM di sini bermaksud "SELAMAT TINGGAL"?

p/s: Untuk mendapat ayat-ayat yang menggunakan perkataan SALAM, sila layari www.surah.my, cari ayat guna keyword SALAM, tidak kurang 20 ayat terdapat perkataan SALAM.

Komen daripada Mohd Fadli Yusof: Silakan share untuk kebaikan, perkataan JANGAN GUNAKAN PERKATAAN "SALAM" itu bukan perkataan Ustaz Zawawi. Penulis note hanya pinjam kata-kata Ustaz Zawawi berkenaan cara-cara yang betul memberi salam. Perkara ini dah tersebar di blog-blog juga.
www.surah.my
Tafsir Al Quran Bahasa Melayu

bila bicara tentang belia...

Sepertimana kita ketahui, umur yang dikatakan belia itu adalah antara 20 hingga 40 tahun. Nabi kita Muhammad SAW diturunkan wahyu ketika umur 40. Hal ini apabila kita melihat lebih luas, tidaklah orang yang berilmu melainkan dia adalah belia (pemuda).

Entri kali ini sebenarnya lebih untuk membicarakan belia kerana belialah yang akan mewarisi tampuk kepimpinan negara, justeru itu belia islam kita haruslah bersedia dari segi jasmani dan rohani untuk memikul tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.



Kepada belia-belia di luar sana, janganlah leka dibuai hiburan dunia kerana tugas kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini belum tertunai sempurnanya. Jangan tunggu malaikat maut datang mengambil nyawa barulah nak ambil tikar sejadah, bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan.

Akhir kalam, ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara:-


  1. hidup sebelum mati
  2. kaya sebelum miskin
  3. sihat sebelum sakit
  4. muda sebelum tua
  5. luas sebelum sempit

wallahualam...

Jumaat, 1 Julai 2011

Tahniah IM Hassan dan IM Nazrul..

Kehebatan berpidato, kemerduan alunan ayat suci Al-Quran serta kuat daya ingatan menjadi sumber kekuatan bagi kedua-dua imam muda ini, tahniah dan teruskan usaha mulia ini untuk terus berjihad di atas panji-panji islam.