Khamis, 21 April 2011

::Cintai Dia Dalam Diam, Dari Kejauhan Dengan Kesederhanaan Dan Keikhlasan::





Ketika cinta kini hadir tidaklah untuk Yang Maha Mengetahui saat secercah rasa tidak lagi tercipta untuk Yang Maha Pencipta izinkanlah hati bertanya untuk siapa ia muncul dengan tiba-tiba.. mungkinkah dengan redhaNYA atau hanya mengundang murkaNYA..

Jika benar cinta itu kerana ALLAH maka biarkanlah ia mengalir mengikut aliran ALLAH kerana hakikatnya ia berhulu dari ALLAH maka ia pun berhilir hanya kepada ALLAH..

" Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran ALLAH." (QS. Adz Dzariyat: 49)

" Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin ALLAH akan memampukan mereka dengan kurniaNYA." (QS. An Nuur: 32 )

" Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNYA ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNYA diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." ( QS. Ar Ruum: 21 )

Tetapi jika kelemahan masih nyata dipelupuk mata maka bersabarlah.. berdoalah.. berpuasalah..

" Wahai kaum pemuda, siapa saja diantara kamu yang sudah sanggup untuk menikah, maka menikahlah, sesungguhnya menikah itu memelihara mata, dan memelihara kemaluan, maka bila diantara kamu belum sanggup untuk menikah.. berpuasalah, kerana sesungguhnya puasa tersebut sebagai penahannya." ( Hadis )

" Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. ( QS. Al Israa': 32 )

Cukup cintai dia dalam diam..,
Bukan kerana membenci hadirnya.. tetapi menjaga kesucinnya bukan kerana menghindari dunia.. tetapi meraih syurgaNYA bukan kerana lemah untuk menghadapinya.. tetapi menguatkan jiwa dari godaan syaitan yang begitu halus dan menyelusup..

Cukup cintai dia dari kejauhan..,
Kerana hadirmu tiada kan mampu menjauhkannya dari ujian.. kerana hadirmu hanya akan menggoyahkan iman dan ketenangan.. kerana mungkin sajakan membawa kelalaian hati-hati yang terjaga..

Cukup cintai dia dengan kesederhanaan..,
Memupuknya hanya akan menambah penderitaan.. menumbuhkan harapan hanya akan membumbui kebahagiaan para syaitan..

Maka cintailah dia dengan keikhlasan..,
Kerana tentu kisah Fatimah dan Ali Bin Abi Talib diingini oleh hati.. tetapi sanggupkah jika semua berakhir seperti sejarah cinta Salman Al Farisi..??

".. boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." ( QS. Al Baqarah: 216 )

" Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)." (QS. An Nuur: 26 )

Cukup cintai dia dalam diam dari kejauhan dengan kesederhaan dan keikhlasan..


 


Kerana tiada yang tahu rencana Tuhan.. mungkin saja rasa ini ujian yang akan melapuk atau membeku dengan perlahan..

Kerana hati ini begitu mudah untuk dibolak-balikkan.. serahkan rasa yang tiada sanggup dijadikan halal itu pada Yang Memberi dan Memilikinya.. biarkan DIA yang mengatur semuanya hingga keindahan itu datang pada waktunya..

" Barangsiapa yang menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga ." (Umar Bin Khattab ra)

~ Pilihan ALLAH itu yang TERBAIk ~




diambil dr http://nuorain.blogspot.com/  

Rabu, 20 April 2011

Muslimah Barat vs Muslimah Malaysia

1300 tahun Islam memerintah dunia, umat manusia diasuh dan dididik dengan aqidah Islam, tidak kira yang Islam mahupun yang bukan Islam. Ini bermakna, hidayah telah sampai kepada orang kafir, dan mereka boleh memilih untuk kekal dengan kekafiran mereka atau memilih Islam.

Atas dasar keimanan inilah Sang Khalifah memerintah dunia. Khalifah memerintah dunia mengikut apa yang telah disyariatkan mengikut al-Quran dan as-Sunnah. Atas dasar ini, segala sistem ciptaan Ilahi diterapkan dalam kehidupan, termasuk tatacara berpakaian dalam kehidupan sehari-harian.
Namun, sejak kejatuhan Daulah Khilafah pada 3 Mac 1924 bersamaan 28 Rajab 1342H, umat Islam kehilangan perisai untuk melindungi mereka. Apa yang ingin difokuskan adalah kehidupan muslimah semakin terancam, sejak penerapan sistem sekular oleh Mustafa Kemal Laknatullah mula menular. Sejak jatuhnya Daulah Khilafah di Turki, sistem sekular disebarluaskan dengan begitu pantas.

Sistem sekular yang diterapkan oleh Mustafa Kemal Laknatullah kononnya menjadi pemacu pemodenan Turki. Walhal, sistem tersebutlah yang menggagalkan dunia hingga ke saat ini. Muslimah dilarang untuk memakai pakaian yang menutup aurat. Sekiranya mereka memakai tudung, tudung mereka akan dirampas oleh pembelot-pembelot Islam yang digaji oleh pemerintah sekular. Tudung mereka ditarik dengan penuh rasa benci terhadap syariat Islam.

Tidak cukup sekadar itu, tudung dan niqab juga diharamkan oleh negara Barat seperti di Perancis. Perang propaganda seperti video dan kartun yang menyatakan Islam menindas wanita dengan hijab turut membuatkan muslimah di Barat bertambah tertekan. Mereka yang berhijab akan dipandang dengan pandangan yang semacam. Bahkan, ada juga yang dilabel sebagai 'pengganas' disebabkan oleh tudung mereka.

Walaupun masalah ini berlaku saban hari, muslimah di Barat tetap istiqamah dengan pemakaian tudung mereka. Malah, mereka telah mengadakan demonstrasi aman berkaitan perintah pengharaman tudung di Barat. Walaupun mereka dihina dan dipandang serong, pendirian mereka tetap tertancap kukuh.
Namun begitu, lain pula yang berlaku di negara kita. Tiada perintah pengharaman tudung sekalipun. Muslimah bebas untuk memakai tudung, niqab, mahupun jubah sesuka hati mereka tanpa ada halangan. Namun, peluang ini disia-siakan begitu sahaja.

Ramai wanita-wanita Islam di Malaysia dengan sesuka hati mendedahkan aurat. Tidak cukup dengan mendedahkan rambut mereka, pakaian ketat disarung pula pada badan mereka, bagaikan sarung nangka. Perasaan malu tidak sedikitpun lahir dari jiwa mereka tatkala tubuh mereka diperhatikan oleh masyarakat sekeliling lebih-lebih lagi kaum lelaki.

Mengapa perkara ini berlaku? Perkara ini berlaku adalah kerana sistem uqubat tidak diterapkan dalam kehidupan kita. Sebaliknya, undang-undang sekular diterapkan dalam kehidupan kita. Pendedah aurat, baik lelaki mahupun perempuan tidak dikenakan hukum takzir oleh pihak penguasa. Justeru, semakin ramailah golongan yang tidak tahu malu terbentuk. Semuanya kerana hukum hakam Islam tidak ditpraktikkan dalam kehidupan.

Justeru, ketiadaan Daulah Khilafah menjadi punca masalah dalam kehidupan. Kerana hanya Daulah Khilafah lah yang akan menerapkan sistem-sistem Islam dalam kehidupan. Di mana, sistem-sistem Islam tersebut diturunkan melalui wahyu. Lihatlah, bab aurat pun terjejas apabila ketiadaan Daulah Khilafah.
Memang benar, sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Sesungguhnya seorang Imam (Khalifah) adalah laksana perisai, di mana orang-orang akan berperang di belakangnya dan menjadikannya sebagai pelindung (bagi dirinya)." [HR Muslim]

Selasa, 19 April 2011

Jangan Bunuh Hudhud Itu


ٍSumber foto: static.howstuffworks.com
“Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Apakah dia termasuk di kalangan mereka yang ponteng?” Sulaiman ‘alayhi al-salaam bertanya.
Pemeriksaan hari itu, begitu teliti dilakukannya.
Kerajaannya besar. Bukan setakat kerajaan manusia di Timur dan Barat, malah menakluki segala haiwan hingga ke komuniti Jin.
Namun Sulaiman tidak hilang pemerhatian. Tidak hilang kawalan. Baginda tahu siapa yang ada dan siapa yang tiada.
Ketidak hadiran Hudhud menimbulkan murka Sulaiman.
“Sesungguhnya aku pasti akan menghukum Hudhud itu dengan hukuman yang keras, malah aku tidak teragak-agak untuk menyembelihnya sahaja!” begitu sekali kemarahan Baginda.
Ia menggambarkan prihatian dan tegasnya Sulaiman dalam menjaga kabinet, tenaga kerja dan seluruh jentera kerajaannya. Pemimpin yang tidak meremehkan sesiapa, biar pun kakitangannya itu hanya si burung Hudhud.
“Kecuali jika Hudhud mendatangkan penjelasan yang konkrit!” Sulaiman memberi penegasan.
Tegasnya bukan sampai buta dari pertimbangan. Biar pun murka, ruang penjelasan sentiasa ada.
Kisah ini merupakan petikan firman Allah di dalam al-Quran, Surah al-Naml berkenaan Nabi Sulaiman ‘alayhi al-Salaam sebagai pemimpin kerajaannya.
“Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir. Burung Hudhud itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): “Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari Negeri Saba’ dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya” [Surah al-Naml 27: 20-23]
PERANAN HUDHUD
Kisah di dalam al-Quran bukan bedtime story. Ia datang dengan ‘ibrah yang besar.
Hudhud di dalam kisah ini tidak seharusnya mencerminkan fenomena tasayyub yang boleh berlaku di dalam gerakan Islam. Gejala ‘hilang kawalan’ dan pandai-pandai sendiri dalam melakukan gerak kerja hingga tidak bergerak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam, tidak harus bersandarkan kepada kisah ini.
Hudhud tidak lari daripada tujuan dan disiplin gerak kerja sebuah gerakan. Tetapi apa yang hendak ditonjolkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam ayat ini adalah sifat penting yang mesti wujud di dalam diri amilin gerakan Islam yang diwakili oleh Hudhud tersebut. Sifat yang dimaksudkan itu adalah kepekaan amilin terhadap peluang-peluang yang wujud di sekitarnya, yang mungkin tidak disedari oleh sebuah gerakan yang sudah mempunyai SOP rutinnya.
Sulaiman alayhi al-Salaam yang kekuatan serta kemampuan Baginda menguasai komuniti manusia, haiwan dan jin, tetap diperlihatkan oleh Allah betapa masih ada perkara yang berlaku di luar pengetahuannya. Dengan kemudahan dan kemahiran, maklumat masih sesuatu yang terlalu luas untuk dikuasai.
Inilah intipati penjelasan yang dikemukakan oleh Hudhud.
“Ada benda yang pengetahuan tuan tidak sampai kepadanya” kata Hudhud.
Hudhud tahu apa yang dilakukannya. Sebelum menjelaskan apa yang mahu dijelaskan, Hudhud terlebih dahulu menyediakan Sulaiman untuk menghargai apa yang bakal diterangkan.
“Aku baru pulang dari Negeri Saba’ dengan sebuah Naba’” tegas Hudhud.
Kisah yang dibawa bukan sebarang cerita. Bukan kisah kosong. Ia adalah sebuah Naba’, yakni berita penting yang perlu diketahui oleh Sulaiman.
TELADAN BUAT DA’I DAN MURABBI
Seorang da’i mesti mempunyai inisiatif positif pada mencari kebaikan. Ke mana atau di mana sahaja beliau berada, biar pun atas nama kerja dan urusan peribadi, matanya tidak harus alpa daripada membaca peluang-peluang dakwah di sekitarnya. Ruang-ruang seperti ini sering berada di luar cakupan jentera dakwah, justeru perlu dimanfaatkan mata peninjau yang berada di mana-mana.
Ia perlu berlaku tanpa menunggu arahan khusus.
Hal ini harus timbul daripada kesedaran dakwah yang tidak terikat dengan masa dan kelapangan da’i. Pengurusannya mungkin separuh masa, tetapi komitmennya sepenuh masa.
Gerakan Islam juga perlu akur bahawa bukan semua perkara mampu direncanakannya hatta ada sahaja perkara penting yang tercicir daripada keupayaan dirinya. Sulaiman alayhi al-Salaam yang merupakan seorang Rasul penerima wahyu, dan dikuatkan lagi dengan kemahirannya yang dikurniakan Allah, masih berhajatkan kepada sumbangan jentera kecilnya bernama Hudhud yang bersikap proaktif meninjau sesuatu yang berada di luar lingkungan ketuanya.
MENGHARGAI SUMBANGAN HUDHUD
Saeed Hawwa rahimahullah di dalam siri wacana Jundullah beliau, menegaskan tentang wujudnya dua bentuk penggabungan seseorang di dalam sebuah gerakan Islam.
Penggabungan yang pertama disebut sebagai al-Intimaa’ al-Tandheemi (الإنتماء التنظيمي). Ia merupakan penggabungan formal mereka yang tidak lagi bertindak sebagai penyokong, tetapi mengambil kemuliaan menjadi pendukung. Kelompok ini mesti berkualiti kerana integriti serta kompetensi mereka memberikan kesan langsung kepada perjalanan dan perkembangan gerakan yang didukungnya.
Penggabungan yang kedua, disebut sebagai al-Intimaa’ al-’Aatifee (الإنتماء العاطفي). Penggabungan yang lebih berbentuk kebersamaan sokongan dan emosi ini, memerlukan kepada keluasan jiwa kepimpinan gerakan Islam untuk melihatnya sebagai sebuah penggabungan. Berbicara secara realistik, penggabungan kedua ini sering lebih besar saiznya berbanding dengan kelompok yang bergabung dengan penggabungan pertama. Atas apa sahaja sebab yang tidak menjadi persoalan di sini, di luar sana ada ramai penyokong atau kelompok yang simpati kepada gerakan Islam. Mereka berada di mana-mana. Berjawatan rendah berjawatan tinggi, malah berada di balik tembok-tembok yang sukar sekali untuk ditembusi oleh sebuah gerakan.
Namun mereka mungkin seperti Hudhud.
Si kecil yang membawa berita besar.
Gerakan Islam mesti menjiwai pembawaan Sulaiman yang amat tegas dalam menekankan disiplin kerja, tetapi cukup rendah jiwa dan diri untuk membuka ruang penjelasan dan pengambilan manfaat hasil tinjaun proaktif si burung Hudhud.
Hari ini, Hudhud itu mungkin orang dalam, mungkin orang luar.
Mereka itu bermaklumat. Resourceful. Mereka membekalkan pelbagai maklumat. Membekalkan statistik. Membekalkan hasil tinjauan. Semuanya untuk mengkayakan Gerakan Islam dengan Naba’di era Perang Maklumat ini.
Hudhud bukan HANYA HUDHUD. Tanpa Hudhud, Kerajaan Sulaiman tidak mencecah Saba’ dan penyatuan Makkah dan Palestin tidak berlaku.
Jangan semata-mata dek sarang Hudhud alamatnya tidak bercawangan seperti cawanganmu atau tidak berkawasan seperti kawasanmu, kamu bunuh Hudhud itu!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Isnin, 11 April 2011

Bila Sang Da'i Mengejar Jawatan

Begitu banyak fenomena negatif yang seakan positif yang mula timbul dalam gerakan dakwah Islam sejak akhir-akhir ini. Tidak dinafikan banyak antara mereka yang telah menggunakan kalimah yang hak tetapi dengan tujuan yang batil. Makin ramai masyarakat yang terpedaya dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh mereka. Salah satu fenomena yang sering dilihat berlaku adalah perbuatan melobi untuk mendapatkan jawatan dalam sesebuah gerakan Islam. Semua sedia maklum akan larangan meminta jawatan sebagaimana yang dimaksudkan hadith berikut:


Daripada Abu Musa r.a. (Allah telah meredhainya) katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: "Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!." Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Persoalan kepimpinan di dalam Islam bukan sahaja melibatkan perkara kepakaran/kemahiran tetapi juga melibatkan persoalan keberkatan dan pertolongan Allah yang bakal turun kepada kepimpinan yang beriman dan bertaqwa. Oleh itu dalam hadith yang lain, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim baginda Nabi s.a.w. menasihati sahabatnya `Abd ar-Rahman bin Samurah:


"Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan pemintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa pemintaan maka engkau dibantu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari:


"Maksud hadith di atas ialah sesiapa yang meminta jawatan pemimpin lalu diberikan kepadanya maka dia tidak diberikan bantuan disebabkan keinginannya…”.katanya lagi: "Sesiapa yang tidak mendapat bantuan daripada Allah terhadap pekerjaannya maka dia tidak akan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan tersebut. Oleh itu maka tidak sepatutnya diterima pemintaannya (untuk menjadi pemimpin)." (Taisir al-Karim ar-Rahman, m.s. 763, Cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut.)

Dali-dalil di atas dengan jelasnya telah menerangkan akan larangan meminta jawatan. Apabila ditegur tentang apa yang dilakukannya, maka bermacam-macam alasan yang akan diberikan oleh mereka bagi menegakkan benang yang basah. Ia menjadi lebih parah apabila yang melakukannya mempunyai latar belakang agama yang tinggi, maka bermacam-macam dalil dimanipulasikan oleh mereka semata-mata kerana ingin menghalalkan apa yang mereka cuba lakukan. Antara hujah yang biasa didengari ialah:


"Ana terpaksa merebut jawatan ini sebab ana sorang jer yang layak untuk jawatan tersebut."

"Dalam nak menegakkan Islam ni, kita boleh buat apa sahaja termasuk melobi diri sendiri untuk dapatkan jawatan."
"Nabi Yusuf dulu pun pernah meminta jawatan, jadi ana buat sama seperti yang Nabi Yusuf pernah buat."


Tidak dinafikan adanya keadaan yang membenarkan untuk seseorang itu meminta jawatan jika berdepan dengan situasi-situasi tertentu. Para ulama Islam seperti al-Imam al-Mawardi di dalam Al-Ahkam As-Sultaniyyah ada menyebut bahawa adakalanya meminta jawatan memperolehi pahala sekiranya tujuan untuk menegakkan kebenaran dan dibimbangi orang yang tidak layak mendapat tempat tersebut. Menurut al-Qurtubi:


"Sesungguhnya Yusuf a.s. hanya meminta kuasa setelah dia mengetahui bahawa tiada sesiapa yang setanding dengannya, yang dapat melaksanakan keadilan, islah dan menyampaikan hak-hak fakir miskin. Dia melihat yang demikian itu adalah fardu `ain bagi dirinya, kerana tiada siapa lagi selain dia."


Namun apa yang banyak berlaku pada hari ini bukanlah tidak ada orang yang layak untuk memegang kepimpinan, tetapi masing-masing merasakan diri sendiri yang paling hebat dan layak untuk memegang tampuk kepimpinan sehingga menyebabkan mereka menggunakan hujah (kisah Nabi Yusuf meminta jawatan) di atas bagi menjayakan agenda peribadi (mendapatkan jawatan untuk diri sendiri). Inilah yang dikatakan menggunakan kalimah yang hak tetapi dengan tujuan yang batil. Sememangnya fenomena ini sudah berleluasa sekarang.

by Mohd Yusof Hadhari

Ahad, 10 April 2011

Islam belum menang... Mazmumah masih menjajah...

Sepanyol pernah berada di bawah empayar Islam. Namun Islam di Sepanyol hancur musnah dibasmi habis-habisan hingga seolah-olah tidak pernah tegak kerajaan Islam. Kemusnahan dan kehinaan ini bukan berpunca dari lemahnya pentadbiran, bukan kerana sedikitnya jumlah tentera. Bukan kerana tiada ilmu pengetahuan, kemajuan dan ekonomi.

Tetapi ianya berpunca lemahnya iman dan taqwa . Cuai dalam hubungan dengan Tuhan. Ibadah yang diabaikan terutamanya solat. Runtuh akhlak dan roboh perpaduan. Hilang KASIH SAYANG dan semangat BELA-MEMBELA.

Umat Islam ketika itu sudah tidak lagi mengerjakan solat malam atau Tahajud. Ini bererti PAUTAN HATI dengan Tuhan sudah terlalu lemah. Mereka sudah memutuskan saluran bantuan Tuhan. Ikatan syariat juga secara automatik turut menjadi longgar. Kemungkaran dan kezaliman sudah mula menyelinap ke dalam kehidupan masyarakat Islam khususnya para pemimpin. Mazmumah dalam diri mula bertapak dan semakin sehari semakin subur. Masing-masing sudah mula melihat dunia ini terlalu indah, sudah mula mengatur langkah memburu duniawi.

Sebelum pihak musuh menawan Sepanyol, mereka menghantar pasukan perisikan untuk mendapatkan maklumat kedudukan umat Islam khususnya di kalangan tentera. Mereka mahu bertindak tepat pada masanya. Ertinya mereka tidak bertindak menyerang di sebarangan masa, tetapi hanya pada masa yang sesuai. Pihak perisikan musuh itu hanya ingin mendapatkan dua situasi.

Pertama, ialah apabila didapati umat Islam sudah tidak mengantuk di siang hari. Mereka meneliti dan mahukan maklumat di mana mata umat Islam tidak merah dan segar bugar sebagai tanda sudah tidak bangun malam (qiamullail)

Kedua, ialah apabila didapati di kalangan umat Islam sudah mula tidak membela saudaranya yang lain, sudah mula iri hati, hasad dengki, umpat keji, kata nista, mencerca saudaranya yang lain. Ertinya perpaduan sudah terbarai.

Memang tepat. Ketika tentera musuh menyerang Sepanyol, dua perkara pokok dan utama itu sudah sangat terabai, sudah dipandang sepi dan tidak lagi diambil perhatian serius. Bukan sahaja tidak bangun malam, malah ibadah solat yang fardhu sudah kehilangan roh, sudah tidak khusyuk dan sudah tidak didirikan sebagaimana yang dilakukan oleh salafussoleh. Ertinya solat mereka tidak memberi kesan untuk membina peribadi agung . Solat mereka sudah tidak lagi mencapai rasa kehambaan yang mendalam dan rasa bertuhan yang tinggi. Bererti juga solat sudah tidak membakar dan memusnahkan mazmumah mereka .

Apabila keyakinan lemah, maka jiwa pun menjadi kerdil. Akal juga turut menjadi tumpul kerana penumpuan kepada aspek yang sangat remeh iaitu untuk diri, keluarga dan duniawi. Kesannya ialah semangat perjuangan pun luntur. Keadaan demikian itulah yang dikatakan sebagai terpisah dari alam kerohanian. Mereka terhijab dari bantuan Tuhan. Mereka tersisih dan terputus, hubungan dengan kerajaan dan pemerintahan ghaib. Bukan sahaja Tuhan tidak pandang dengan pandangan rahmat, lebih dari itu ialah Allah SWT murka ke atas mereka lalu ditimpakan dengan berbagai bencana, musibah dan kehinaan.



Doa senjata orang mukmin.. Adakah doaku belum termakbul disebabkan aku belum MUKMIN????
Terlalu banyak dosaku, Tuhan...

So Sweet...Bacalah Kalau Ada Masa Free..:)

Aisyah benar-benar keliru dengan sikap kekasihnya. Siang, malam, mesejnya satu pun tidak berbalas. E-mailnya terus lengang seiring dengan waktu yg terus berlalu. Dia sangat tertekan waktu itu. Aisyah memerlukan seseorang untuk menjadi tempat luahan bicaranya, tempat mengadu segala keperitan, tempat berkongsi suka dan duka.
Masih segar lagi diingatannya sewaktu dia dan Tariq bersama,kemana sahaja tentu mereka akan berdua. Setiap kali hujung minggu, sudah tentu panggung wayang akan menjadi destinasi utama mereka. Duduk berdua-duaan menjadi perkara yg amat dinantikan olehnya. Namun kini, semua itu hanya tinggal kenangan. Tariq bukan kekasih yg dikenalinya dulu, dia kini tidak lagi bersamanya untuk berkongsi suka dan duka. Janji-janji manis Tariq untuk bersama-sama membina istana berlandaskan syariat seakan-akan terkubur kini. “Kau jantan penipu! Kau pendusta! Aku benci kau!” hari demi hari, hati Aisyah makin kuat menjerit melepaskan kebencian, namun yg berkunjung hanyalah kerinduan terhadap seorang mahluk yg bernama lelaki itu.

Sehinggalah pada suatu hari, Aisyah bertemu dengan seorang gadis di sebuah program motivasi. Pertemuan didalam sebuah majlis yg singkat itu tidak diduganya membuahkan sebuah persahabatan yg berkekalan. Gadis itu amat lembut pekertinya. Auratnya dijaga rapi dan tutur katanya diatur sempurna. Danisya, itulah nama yg diungkapkan gadis itu sewaktu Aisyah menghulur tangan tanda perkenalan. Mulanya Aisyah tidak tertarik untuk mendekati gadis itu, namun kepetahan dan kebijaksanaannya berbicara, akhirnya hati Aisyah tertarik untuk mengenalinya dengan lebih rapat.
Sejak mengenali Danisya, Aisyah mula mendekati Islam sebenar-benarnya. Itu tidaklah bermakna Aisyah yg dahulu jauh daripada agama, namun kini dirasakannya perjalanan kehidupannya lebih terpelihara. Jika dahulu dia memakai tudung gaya moden yg menonjolkan dadanya, kini tudung itu menjadi bertambah labuh. Jika dahulu, T-shirt dan jeans menjadi pilihan pemakaian hariannya, kini jubahlah pula yg menjadi pembalut tubuh agar tidak menjadi bahan tatapan lelaki-lelaki berhidung belang. Hari demi hari, Aisyah seakan-akan mampu melupakan Tariq. Kini Danisyalah dunianya, segala masalah dikongsikan bersama. Kehadiran Danisya mampu menggantikan tempat Tariq. Yang anehnya, Danisya seolah-olah seperti Tariq versi wanita baginya.

Saban hari, semakin ramai yg gemar untuk berdampingan dengan Aisyah. Dia amat bahagia kini kerana dikurniakan ramai sahabat yg ada untuknya meluahkan rasa suka dan duka. Ramai pemuda  cuba untuk mendekatinya, namun Aisyah segera menolaknya kerana dia sedar, cinta kepada seorang lelaki mampu membunuhnya. Apa yg dinantikannya kini hanyalah CINTA kepada ilahi dan bukannya cinta sementara rekaan syaitan bertunjangkan hawa nafsu. Cinta selepas kahwin menjadi idamannya kini. Bila dan siapa orangnya, biarlah Allah sahaja yg menentukannya.

Kini genaplah lima tahun pengajiannya di Institut Perguruan Kampus Gaya. Minggu hadapan, dia akan mula bercuti. Aisyah sudah mula sibuk mengemaskan barang-barang untuk pulang ke kampung halaman. Tiba-tiba Danisya datang mengirimkan sepucuk surat kepada Aisyah. Tanpa sebarang bicara, Danisya berlalu pergi. Perlahan-lahan, Aisyah membuka sampul surat berwarna biru itu. Hatinya berdebar-debar, kerana dia kenal benar dengan tulisan tangan disampul surat  itu. Tulisan insan yg pernah membuat hidupnya sengsara dahulu.

Assalamulaikum,

Kehadapan Aisyah binti Abdul Halim, gadis yg selalu kusayangi sejak dahulu, kini dan InsyaAllah, untuk selama-lamanya. Maafkan diriku kerana telah lama menghilang tanpa sebarang berita. Aku pergi bukan kerana ingin meninggalkanmu tapi aku pergi kerana aku mahu mencari CINTA dariNya.

Mungkin dahulu aku pernah membawamu kedunia penuh kelalaian. Atas desakan hawa nafsu, aku mengajakmu melanggar batas-batas syariat. Mujur, aku tersedar lalu kutinggalkan kamu sendirian merangkak dalam kepayahan. Aku turut berduka kerana kehilanganmu. Siang, malam, hari-hariku terasa perit tanpa adanya kamu. Mungkin kau tidak menyedari, aku sering memerhatikan kamu. Mesej-mesej pertanyaan khabar darimu sengaja kubiarkan tidak berbalas. Maafkan aku.

Kuhadiahkan kamu adikkku, Danisya sebagai penggantiku, teman sewaktu kamu senang dan susah. Segala perkembangan tentang kamu, selalu kutanyakan kepada adikku. Kadang-kadang ada juga kau mengeluh tentangku, saat itu, aku terasa berat untuk menjauh darimu. Namun, aku perlu berbuat begitu, kerana aku perlukan masa untuk mengambilmu sebagai isteri. Ilmu agama perlu kuperdalami, ilmu dunia perlu kutuntut agar aku mampu mencari rezeki buat kita berdua.

Kini sudah tiba masanya untuk ku sunting dirimu. Apa yg perlu kau tahu, saat kamu membaca surat ini, rombongan meminang telah pun kuhantar kerumahmu. Kuharap kau sudi untuk menerimaku sebagai suamimu.
Sekian, wasalam.

Yg Benar,
Tariq.

Aisyah terdiam seketika, hatinya berbunga. Dalam esakan tangisan dia tersenyum. Dia bahagia kini. Tidak disangka, insan yg dahulunya dianggap pengkhianat, penipu dan pembelot rupa-rupanya seorang kekasih yg sejati. Benarlah, begitu indahnya cinta andai ada CINTA kepada Allah Yang Maha Esa. Aisyah mula menyambung kembali tugasnya. Tidak sabar untuknya pulang menanti hari-hari bahagia apabila dia dan Tariq disatukan nanti. Indahnya hidup berlandaskan syariat, itulah kisah Tariq dan Aisyah, anda bagaimana?

Hasil Nukilan : Jazulfadli Jamaludin

Jumaat, 8 April 2011

Masih selamatkah membaca akhbar tempatan?

Tatkala sedang membelek satu persatu muka surat akhbar hari ini, terdetik di fikiran, benarkah ini sebuah akhbar? Benarkah akhbar ini dijual secara terbuka yang dibaca oleh semua peringkat umur? Adakah akhbar inilah yang diberi secara percuma di sekolah-sekolah rendah?

Kisah sensasi
Siapa yang tak kenal dengan beberapa akhbar tempatan yang sering menyiarkan tajuk-tajuk panas di setiap muka depan akhbar mereka. Bahkan memang bukan menjadi satu kebetulan, setiap hari ada sahaja kisah-kisah sensasi berlaku di negara ini untuk dimuatkan ke dalam akhbar. Ini diakui sendiri oleh seorang editor akhbar tersebut dalam satu rancangan temu bual di salah satu stesyen radio popular yang menurutnya memang disengajakan untuk meletak cerita-cerita sedemikian untuk menarik minat para pembaca untuk membeli akhbar mereka. Tidak hairanlah apabila kita sering melihat trend akhbar-akhbar utama yang berlumba-lumba meletak cerita dengan tajuk-tajuk sensasi, sedangkan isinya agak merapu dan entah benar atau tidak ceritanya. Malah, memang terdapat bukti mereka sengaja mengada-adakan cerita.

Berunsur lucah
Kisah sensasi tersebut pula sering dikaitkan dengan unsur-unsur menggoda, mengiurkan serta mengghairahkan. Masakan tidak, setiap kali menjenguk kedai, ternyata gambar-gambar wanita berposing sana sini mendominasi muka depan kebanyakan akhbar yang kadang kala dikaburi dengan pelbagai tajuk berunsur ‘nasihat’. Malah jika hanya ingin membelek ruang sukan sekalipun sudah tidak ada jaminan selamat buat anda daripada melihat perkara tidak sepatutnya. Pihak akhbar dengan sengaja menonjolkan gambar-gambar pemain wanita sedang tunduk menanti balingan pukulan bola pihak lawan yang kebanyakannya diletakkan hampir sebesar saiz separuh muka surat! Ditambah pula dengan selingan iklan-iklan yang menonjolkan wanita-wanita berpakaian ketat dengan pelbagai promosi, perkhidmatan dan sebagainya. Barangkali mereka sudah memahami ‘kelemahan’ lelaki dan ini membuatkan kita berfikir bahawa tidak perlu lagi nampaknya bersusah payah mengeluarkan duit mahal membeli majalah "playboy" yang berada di pasaran gelap sedangkan di pasaran terbuka pun sudah berlambak koleksi gambar sedemikian rupa.

Di manakah fungsi akhbar?
Jikalah benar apa yang dicoret ini, maka kita tertanya-tanya apakah fungsi sebenarnya akhbar pada masa kini? Apakah hanya sekadar mengejar title akhbar nombor satu negara sahaja sedangkan segala kandungan isi merangkumi tanggungjawab sosial terhadap masyarakat diabaikan begitu sahaja? Secara asasnya anda membongkar kisah kejatuhan moral masyarakat, tetapi pada hakikatnya laporan yang anda tulis terus menerus memburukkan lagi keadaan, ditambah meningkatkan lagi remaja terangsang, berkhayal dan seterusnya membuka lorong mendekati maksiat!
Jikalah keuntungan diutamakan, kita teringat satu kisah si penggali kubur pencari makan, gembira tak terkata apabila setiap kali seorang demi seorang meninggal di kampungnya. Adakah si penggali kubur itu dapat disamakan dengan pihak akhbar yang menanti berlakunya peristiwa-peristiwa kontroversi untuk dimuatkan dalam akhbar mereka? Kita harap tidak. Dan amat menyedihkan sekali apabila memikirkan fungsi akhbar pada hari ini amat jauh sekali untuk dibandingkan dengan akhbar-akhbar sebelum merdeka suatu ketika dulu seperti “Warta”, “al-Imam” dan sebagainya.

Seruan buat akhbar
Kita menyeru akhbar-akhbar kita supaya disamping mencari keuntungan, janganlah sesekali mengabaikan tanggungjawab sosial. Anda melaporkan berita “Kes rogol kian parah”, tetapi disebelah ruang berita tersebut tersiar pula iklan memperagakan susuk tubuh wanita. Anda melaporkan berita “Artis wanita paling seksi”, sedangkan di ruang sebelahnya menceritakan tentang “Indahnya hidup bersyariatkan Islam”. Ternyata amat bahayalah buat mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan, tetiba terangsang dek pekena dajal oleh akhbar sedemikian rupa, maka seringlah terjadinya insaf ekpress.
"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui." (An-Nur : 19)

Jikalah pihak akhbar masih teruskan sikap sebegini, kita cadangkan supaya mereka menklafikasikan akhbar mereka dengan tanda 18+ untuk dijual secara tertutup, atau lebih baik ditanda sebagai ‘only for non-muslims’. Jika tak mampu, elok dibakulsampahkan sahaja akhbar-akhbar sebegini!