Khamis, 21 Julai 2011

Baginda Yang Berbuka Puasa Dengan Tamar Dan Air Itu…


“Alhamdulillah ustaz. 2kg lagi turun semenjak Khamis minggu lalu” kata doktor.
“Alhamdulillah!” saya gembira.
Bersyukur.
“Insya Allah menjelang Ramadan, berat ustaz akan meninggalkan zaman tiga angka. Apabila berat sudah di bawah tiga angka, sudah banyak risiko kesihatan yang berjaya disingkir” jelas doktor.
Lawatan ringkas pagi tadi hanyalah rutin mingguan saya.
Program menurunkan berat badan saya semenjak Mac 2011 bukanlah bermatlamatkan hasil-hasil luaran. Saya melakukannya dengan bersungguh-sungguh kerana mahu memecahkan segala tabiat negatif kehidupan. Kegemukan hanya simptom. Ia bukan masalah dasar. Kegemukan adalah simptom kepada adanya kecacatan pada tabiat di dalam kehidupan kita. Itulah yang mahu saya pecahkan.
DIET DI BULAN RAMADAN
Ramadan semakin hampir.
3 minggu pertama Ramadan, saya akan masih berada di dalam regim 500kcal/day.
Jangan khuatir.
Saya tahu ramai dietitian, sama ada yang profesional mahu pun tidak, ‘menyerang’ plan diet saya ini.
500kcal/day ini bukanlah hanya dengan memotong karbohidrat dan gula. Selain senaman berkala, corak tidur yang dibetulkan dan jumlah air minuman yang dioptimumkan, saya juga menerima bantuan melalui suntikan hCG yang menyebabkan lemak simpanan banyak dibakar. Itulah sumber tenaga harian saya. Lawatan mingguan ke klinik dan pemantauan rapi doktor juga penting untuk memastikan saya tidak mengalami pelbagai jenis malnutrisi atau electrolyte imbalance.
Sebab itu amat penting bagai saya menghitung dan mengetahui secara terpeinci apakah yang saya makan dan tidak makan, minum dan tidak minum dalam satu hari.
Namun apa yang paling mengujakan saya dengan kedatangan Ramadan ini adalah pada nikmat yang satu ini:
Saya tidak sabar hendak mengecapi nikmat berasa cukup berbuka puasa dengan tamar dan air, yang selama 36 tahun hidup ini saya hanya membacanya di dalam Sirah insan luar biasa bernama Muhammad bin Abdullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu.
Catatan yang dirasakan begitu jauh.
Begitu mustahil.
Hingga terlupa, bahawa Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu susuk tubuhnya adalah sama fisiologinya dengan susuk tubuh saya dan anda semua.
Ramadan kali ini jangan kurang daripada berevolusi.
Namun berusahalah untuk berreformasi.
Demi sebuah transformasi.
TRANSFORMASI RAMADAN.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
FB: facebook.com/hasrizalabduljamil
68000 AMPANG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan