Khamis, 17 Februari 2011

Maulid al-Rasul: Kita Lebih Bersyiar di Majlis Ilmu


Foto ihsan Muhammad Afiq Faiz via Facebook
Alhamdulillah.
Khabarnya, nasi briyani bungkus sebanyak 1500 unit tidak cukup.
Masjid Bukit Indah di Ampang, meriah dengan sambutan Maulid al-Rasul kali ini. Bermula daripada pendeklemasian sajak istimewa oleh Pyanhabib, diikuti dengan persembahan nasyid oleh kumpulan SMK Bukit Indah, SK Taman Bukit Indah, SMA(A) ILMI, Kumpulan Fazs dan One Soulz. Kemuncak kepada sambutan kali ini adalah Forum Komuniti bertajuk “MUHAMMAD SALLALLAAHU ‘ALAYHI WA SALLAM: ANTAR DURHAM DAN AMPANG”.
Forum kali ini dikendalikan oleh moderator, Saudara Abu Umar Ahmad Syarief.
Berikut adalah soalan-soalan yang dikemukakan kepada para panelis:
  • [Dr Maszlee Malik] Sebagaimana yang kita biasa dengar, penerimaan masyarakat Barat terhadap Islam semakin meningkat. Biar pun dari semasa ke semasa wujudnya tindakan kontroversi ahli politik, ahli seni dan ahli akademik yang ditafsirkan sebagai menimbulkan salah faham tentang ajaran Islam dan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, peningkatan jumlah mereka yang menerima Islam tetap berlaku. Berdasarkan pengalaman peribadi dan akademik Ustaz semasa bermastautin di Durham, UK, apakah elemen yang mendasari hal ini?
    • Ustaz Maszlee menghuraikan tentang sifat masyarakat Barat yang kritis dalam menerima maklumat. Mereka juga berusaha untuk mengekalkan asas kehidupan civil society yang sihat iaitu melalui kebebasan media. Di ruang kebebasan itulah berlakunya contest of idea, yang mana umat Islam bertindak mengisi ruang tersebut dengan kerja-kerja penerangan.
    • Diktatorisma tidak akan dapat digulingkan kecuali melalui revolusi pendidikan. Kebebasan bersuara tidak memungkinkan sesiapa untuk menjadi pemeras di dalam masyarakat.
  • [Ustaz Hasrizal Abdul Jamil] Ustaz juga pernah bermastautin di Belfast suatu ketika dahulu. Tempat yang menyaksikan pertembungan antara Protestant dan Catholic tidak ubah seperti krisis antara Aus dan Khazraj di zaman penghijrahan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ke Madinah. Kini Ustaz sudah lama kembali ke Malaysia, dan menjadi sebahagian daripada penduduk Ampang. Bagaimanakah huraian-huraian Dr Maszlee tadi di dalam konteks Ampang atau negara kita Malaysia itu sendiri?
    • Saya memfokuskan kepada sebab mengapa Allah SWT memilih bangsa Arab dan Semenanjung Tanah Arab sebagai tapak permulaan Islam. Selain daripada kemurnian fikiran masyarakat Arab yang bebas daripada pengaruh kecamukan falsafah Greco-Roman dan Parsi, bangsa Arab juga mempunyai karakter yang penting untuk ‘menyambut agama’. Sifat cemburu dengan maruah, lasak, mempunyai will power yang tinggi, yang kesemua itu menjadikan mereka lasak dan tabah untuk mendukung Islam.
    • Masyarakat Barat juga memfokuskan kepada pembangunan karakter ini di dalam sistem pendidikan mereka. Berfikir secara kritis, berani bertanya, menghargai hujah dan memuliakan kesamarataan serta kebebasan berpendapat disemai seawal usia persekolahan. Ia menjadi fondisi yang penting kepada kesuburan mereka menerima Islam.
    • Pembangunan karakter adalah aspek yang amat tercicir daripada sistem pendidikan semasa kita yang terlalu obses dengan A di dalam peperiksaan, lambakan akademik yang tidak sesuai dengan tahap umur hingga mengabaikan aspek penting yang hanya boleh dilakukan semasa manusia di usia 10 tahun pertama mereka.
    • Sekali lagi reformasi pendidikan diperlukan.
    • Saya juga menyentuh tentang kritikan Fazlul Rahman ke atas gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab yang cuba untuk mengeluarkan manusia daripada taqlid, tetapi mengabaikan mekanisma penting ke arah itu iaitu galakan berfikir. Akibatnya, mereka yang mengambil seruan Muhammad bin Abdul Wahhab, berpindah daripada satu taqlid kepada satu bentuk taqlid baru yang lain. Demikian juga kelompok tradisionalis yang membahaskan Aqidah dengan mekanisma akal dan logik melalui sistem Sifat 20, turun mengalami nasib yang sama apabila Sifat 20 dihafal dan bukan lagi menjadi bahan kritis dalam menggarap ilmu.
    • Akibatnya lahirlah Salafi yang tidak berfikir, serta Khalaf yang juga tidak berfikir. Kedua-duanya menambah masalah di dalam masyarakat dan bukannya menyelesaikan masalah.
  • [Dr Maszlee Malik] Asia Barat panas dengan perkembangan semasa yang menyaksikan tumbangnya regim diktator Ben Ali di Tunisia serta Hosni Mubarak di Mesir. Terkini Yaman dan Algeria sedang bergelora menyaksikan kebangkitan rakyatnya kesan daripada apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir. Bagaimanakah Ustaz menilai perkembangan semasa ini daripada sudut prinsip-prinsip ajaran Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam? Bagaimanakah Sunnah Baginda bertindak sebagai enjin di sebalik kejadian semasa ini.
  • [Ustaz Hasrizal Abdul Jamil] Ketika pemuda Tunisa Mohamed Bouazizi dan pemuda Mesir Khaled Saeed menjadi sebab kepada perubahan landskap negara berkenaan, kita di Malaysia sedang bekerja keras mengekang pemuda pemudi kita daripada musnah oleh serakah Cinta dan Valentine. Apa pandangan Ustaz tentang hal ini? Di manakah negara kita dan anak-anak mudanya hendak diposisikan di tengah-tengah perkembangan umat Islam sejagat?
Sesi soal jawab juga dihujani dengan puluhan soalan, namun hanya beberapa sahaja yang sempat disentuh oleh kedua-dua panelis.
Terima kasih kepada pihak Masjid Bukit Indah kerana menjemput saya. Terima kasih kepada Ustaz Dr Maszlee Malik kerana sudi menerima undangan untuk menjadi rakan panelis. Terima kasih kepada akhi Ahmad Syarief kerana menyahut tawaran terbuka saya di Facebook untuk menjadi moderator. Terima kasih kepada sekurang-kurang 30% yang hadir itu adalah mereka semua adalah rakan daripada Facebook. Dan terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan majlis ilmu kita.
Adakalanya terfikir juga…
Di saat umat Islam sedang menjuarai statistik pembuangan bayi, dadah, penceraian, mat rempit dan kecundang persekolahan, apakah yang cuba disyiarkan dalam perarakan Maulid al-Rasul? Mungkin kita lebih kelihatan bermaruah apabila Maulid al-Rasul diraikan di dalam majlis ilmu kerana jelas di situ, umat Islam sedang membuat muhasabah diri di samping membina kekuatan yang sebenar.
Semoga semuanya bermanfaat untuk sekalian yang hadir.
Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [AL-Ahzaab 33: 56]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Tiada ulasan:

Catat Ulasan