Isnin, 11 April 2011

Bila Sang Da'i Mengejar Jawatan

Begitu banyak fenomena negatif yang seakan positif yang mula timbul dalam gerakan dakwah Islam sejak akhir-akhir ini. Tidak dinafikan banyak antara mereka yang telah menggunakan kalimah yang hak tetapi dengan tujuan yang batil. Makin ramai masyarakat yang terpedaya dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh mereka. Salah satu fenomena yang sering dilihat berlaku adalah perbuatan melobi untuk mendapatkan jawatan dalam sesebuah gerakan Islam. Semua sedia maklum akan larangan meminta jawatan sebagaimana yang dimaksudkan hadith berikut:


Daripada Abu Musa r.a. (Allah telah meredhainya) katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi s.a.w.. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: "Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!." Yang seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Persoalan kepimpinan di dalam Islam bukan sahaja melibatkan perkara kepakaran/kemahiran tetapi juga melibatkan persoalan keberkatan dan pertolongan Allah yang bakal turun kepada kepimpinan yang beriman dan bertaqwa. Oleh itu dalam hadith yang lain, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim baginda Nabi s.a.w. menasihati sahabatnya `Abd ar-Rahman bin Samurah:


"Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan pemintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa pemintaan maka engkau dibantu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari:


"Maksud hadith di atas ialah sesiapa yang meminta jawatan pemimpin lalu diberikan kepadanya maka dia tidak diberikan bantuan disebabkan keinginannya…”.katanya lagi: "Sesiapa yang tidak mendapat bantuan daripada Allah terhadap pekerjaannya maka dia tidak akan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan tersebut. Oleh itu maka tidak sepatutnya diterima pemintaannya (untuk menjadi pemimpin)." (Taisir al-Karim ar-Rahman, m.s. 763, Cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut.)

Dali-dalil di atas dengan jelasnya telah menerangkan akan larangan meminta jawatan. Apabila ditegur tentang apa yang dilakukannya, maka bermacam-macam alasan yang akan diberikan oleh mereka bagi menegakkan benang yang basah. Ia menjadi lebih parah apabila yang melakukannya mempunyai latar belakang agama yang tinggi, maka bermacam-macam dalil dimanipulasikan oleh mereka semata-mata kerana ingin menghalalkan apa yang mereka cuba lakukan. Antara hujah yang biasa didengari ialah:


"Ana terpaksa merebut jawatan ini sebab ana sorang jer yang layak untuk jawatan tersebut."

"Dalam nak menegakkan Islam ni, kita boleh buat apa sahaja termasuk melobi diri sendiri untuk dapatkan jawatan."
"Nabi Yusuf dulu pun pernah meminta jawatan, jadi ana buat sama seperti yang Nabi Yusuf pernah buat."


Tidak dinafikan adanya keadaan yang membenarkan untuk seseorang itu meminta jawatan jika berdepan dengan situasi-situasi tertentu. Para ulama Islam seperti al-Imam al-Mawardi di dalam Al-Ahkam As-Sultaniyyah ada menyebut bahawa adakalanya meminta jawatan memperolehi pahala sekiranya tujuan untuk menegakkan kebenaran dan dibimbangi orang yang tidak layak mendapat tempat tersebut. Menurut al-Qurtubi:


"Sesungguhnya Yusuf a.s. hanya meminta kuasa setelah dia mengetahui bahawa tiada sesiapa yang setanding dengannya, yang dapat melaksanakan keadilan, islah dan menyampaikan hak-hak fakir miskin. Dia melihat yang demikian itu adalah fardu `ain bagi dirinya, kerana tiada siapa lagi selain dia."


Namun apa yang banyak berlaku pada hari ini bukanlah tidak ada orang yang layak untuk memegang kepimpinan, tetapi masing-masing merasakan diri sendiri yang paling hebat dan layak untuk memegang tampuk kepimpinan sehingga menyebabkan mereka menggunakan hujah (kisah Nabi Yusuf meminta jawatan) di atas bagi menjayakan agenda peribadi (mendapatkan jawatan untuk diri sendiri). Inilah yang dikatakan menggunakan kalimah yang hak tetapi dengan tujuan yang batil. Sememangnya fenomena ini sudah berleluasa sekarang.

by Mohd Yusof Hadhari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan