Jumaat, 8 April 2011

Masih selamatkah membaca akhbar tempatan?

Tatkala sedang membelek satu persatu muka surat akhbar hari ini, terdetik di fikiran, benarkah ini sebuah akhbar? Benarkah akhbar ini dijual secara terbuka yang dibaca oleh semua peringkat umur? Adakah akhbar inilah yang diberi secara percuma di sekolah-sekolah rendah?

Kisah sensasi
Siapa yang tak kenal dengan beberapa akhbar tempatan yang sering menyiarkan tajuk-tajuk panas di setiap muka depan akhbar mereka. Bahkan memang bukan menjadi satu kebetulan, setiap hari ada sahaja kisah-kisah sensasi berlaku di negara ini untuk dimuatkan ke dalam akhbar. Ini diakui sendiri oleh seorang editor akhbar tersebut dalam satu rancangan temu bual di salah satu stesyen radio popular yang menurutnya memang disengajakan untuk meletak cerita-cerita sedemikian untuk menarik minat para pembaca untuk membeli akhbar mereka. Tidak hairanlah apabila kita sering melihat trend akhbar-akhbar utama yang berlumba-lumba meletak cerita dengan tajuk-tajuk sensasi, sedangkan isinya agak merapu dan entah benar atau tidak ceritanya. Malah, memang terdapat bukti mereka sengaja mengada-adakan cerita.

Berunsur lucah
Kisah sensasi tersebut pula sering dikaitkan dengan unsur-unsur menggoda, mengiurkan serta mengghairahkan. Masakan tidak, setiap kali menjenguk kedai, ternyata gambar-gambar wanita berposing sana sini mendominasi muka depan kebanyakan akhbar yang kadang kala dikaburi dengan pelbagai tajuk berunsur ‘nasihat’. Malah jika hanya ingin membelek ruang sukan sekalipun sudah tidak ada jaminan selamat buat anda daripada melihat perkara tidak sepatutnya. Pihak akhbar dengan sengaja menonjolkan gambar-gambar pemain wanita sedang tunduk menanti balingan pukulan bola pihak lawan yang kebanyakannya diletakkan hampir sebesar saiz separuh muka surat! Ditambah pula dengan selingan iklan-iklan yang menonjolkan wanita-wanita berpakaian ketat dengan pelbagai promosi, perkhidmatan dan sebagainya. Barangkali mereka sudah memahami ‘kelemahan’ lelaki dan ini membuatkan kita berfikir bahawa tidak perlu lagi nampaknya bersusah payah mengeluarkan duit mahal membeli majalah "playboy" yang berada di pasaran gelap sedangkan di pasaran terbuka pun sudah berlambak koleksi gambar sedemikian rupa.

Di manakah fungsi akhbar?
Jikalah benar apa yang dicoret ini, maka kita tertanya-tanya apakah fungsi sebenarnya akhbar pada masa kini? Apakah hanya sekadar mengejar title akhbar nombor satu negara sahaja sedangkan segala kandungan isi merangkumi tanggungjawab sosial terhadap masyarakat diabaikan begitu sahaja? Secara asasnya anda membongkar kisah kejatuhan moral masyarakat, tetapi pada hakikatnya laporan yang anda tulis terus menerus memburukkan lagi keadaan, ditambah meningkatkan lagi remaja terangsang, berkhayal dan seterusnya membuka lorong mendekati maksiat!
Jikalah keuntungan diutamakan, kita teringat satu kisah si penggali kubur pencari makan, gembira tak terkata apabila setiap kali seorang demi seorang meninggal di kampungnya. Adakah si penggali kubur itu dapat disamakan dengan pihak akhbar yang menanti berlakunya peristiwa-peristiwa kontroversi untuk dimuatkan dalam akhbar mereka? Kita harap tidak. Dan amat menyedihkan sekali apabila memikirkan fungsi akhbar pada hari ini amat jauh sekali untuk dibandingkan dengan akhbar-akhbar sebelum merdeka suatu ketika dulu seperti “Warta”, “al-Imam” dan sebagainya.

Seruan buat akhbar
Kita menyeru akhbar-akhbar kita supaya disamping mencari keuntungan, janganlah sesekali mengabaikan tanggungjawab sosial. Anda melaporkan berita “Kes rogol kian parah”, tetapi disebelah ruang berita tersebut tersiar pula iklan memperagakan susuk tubuh wanita. Anda melaporkan berita “Artis wanita paling seksi”, sedangkan di ruang sebelahnya menceritakan tentang “Indahnya hidup bersyariatkan Islam”. Ternyata amat bahayalah buat mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan, tetiba terangsang dek pekena dajal oleh akhbar sedemikian rupa, maka seringlah terjadinya insaf ekpress.
"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui." (An-Nur : 19)

Jikalah pihak akhbar masih teruskan sikap sebegini, kita cadangkan supaya mereka menklafikasikan akhbar mereka dengan tanda 18+ untuk dijual secara tertutup, atau lebih baik ditanda sebagai ‘only for non-muslims’. Jika tak mampu, elok dibakulsampahkan sahaja akhbar-akhbar sebegini!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan