Ahad, 10 April 2011

Islam belum menang... Mazmumah masih menjajah...

Sepanyol pernah berada di bawah empayar Islam. Namun Islam di Sepanyol hancur musnah dibasmi habis-habisan hingga seolah-olah tidak pernah tegak kerajaan Islam. Kemusnahan dan kehinaan ini bukan berpunca dari lemahnya pentadbiran, bukan kerana sedikitnya jumlah tentera. Bukan kerana tiada ilmu pengetahuan, kemajuan dan ekonomi.

Tetapi ianya berpunca lemahnya iman dan taqwa . Cuai dalam hubungan dengan Tuhan. Ibadah yang diabaikan terutamanya solat. Runtuh akhlak dan roboh perpaduan. Hilang KASIH SAYANG dan semangat BELA-MEMBELA.

Umat Islam ketika itu sudah tidak lagi mengerjakan solat malam atau Tahajud. Ini bererti PAUTAN HATI dengan Tuhan sudah terlalu lemah. Mereka sudah memutuskan saluran bantuan Tuhan. Ikatan syariat juga secara automatik turut menjadi longgar. Kemungkaran dan kezaliman sudah mula menyelinap ke dalam kehidupan masyarakat Islam khususnya para pemimpin. Mazmumah dalam diri mula bertapak dan semakin sehari semakin subur. Masing-masing sudah mula melihat dunia ini terlalu indah, sudah mula mengatur langkah memburu duniawi.

Sebelum pihak musuh menawan Sepanyol, mereka menghantar pasukan perisikan untuk mendapatkan maklumat kedudukan umat Islam khususnya di kalangan tentera. Mereka mahu bertindak tepat pada masanya. Ertinya mereka tidak bertindak menyerang di sebarangan masa, tetapi hanya pada masa yang sesuai. Pihak perisikan musuh itu hanya ingin mendapatkan dua situasi.

Pertama, ialah apabila didapati umat Islam sudah tidak mengantuk di siang hari. Mereka meneliti dan mahukan maklumat di mana mata umat Islam tidak merah dan segar bugar sebagai tanda sudah tidak bangun malam (qiamullail)

Kedua, ialah apabila didapati di kalangan umat Islam sudah mula tidak membela saudaranya yang lain, sudah mula iri hati, hasad dengki, umpat keji, kata nista, mencerca saudaranya yang lain. Ertinya perpaduan sudah terbarai.

Memang tepat. Ketika tentera musuh menyerang Sepanyol, dua perkara pokok dan utama itu sudah sangat terabai, sudah dipandang sepi dan tidak lagi diambil perhatian serius. Bukan sahaja tidak bangun malam, malah ibadah solat yang fardhu sudah kehilangan roh, sudah tidak khusyuk dan sudah tidak didirikan sebagaimana yang dilakukan oleh salafussoleh. Ertinya solat mereka tidak memberi kesan untuk membina peribadi agung . Solat mereka sudah tidak lagi mencapai rasa kehambaan yang mendalam dan rasa bertuhan yang tinggi. Bererti juga solat sudah tidak membakar dan memusnahkan mazmumah mereka .

Apabila keyakinan lemah, maka jiwa pun menjadi kerdil. Akal juga turut menjadi tumpul kerana penumpuan kepada aspek yang sangat remeh iaitu untuk diri, keluarga dan duniawi. Kesannya ialah semangat perjuangan pun luntur. Keadaan demikian itulah yang dikatakan sebagai terpisah dari alam kerohanian. Mereka terhijab dari bantuan Tuhan. Mereka tersisih dan terputus, hubungan dengan kerajaan dan pemerintahan ghaib. Bukan sahaja Tuhan tidak pandang dengan pandangan rahmat, lebih dari itu ialah Allah SWT murka ke atas mereka lalu ditimpakan dengan berbagai bencana, musibah dan kehinaan.



Doa senjata orang mukmin.. Adakah doaku belum termakbul disebabkan aku belum MUKMIN????
Terlalu banyak dosaku, Tuhan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan